SUNGAI SIPUT: Khidmat pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di atas pokok di Kampung Tersusun Sungai Buluh di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 8.45 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungi Siput dihantar ke lokasi kejadian untuk bantuan.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati seekor kucing berada di atas sebatang pokok pada ketinggian lebih empat meter.
“Difahamkan kucing itu terperangkap di atas pokok selama dua hari. Anggota menggunakan tangga jentera untuk membawa turun haiwan berkenaan,” katanya.
Difahamkan, kucing itu tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat pada pukul 9.10 pagi. – UTUSAN