Boleh berceramah, dakwah di Johor selagi selari ASWJ

Boleh berceramah, dakwah di Johor selagi selari ASWJ

MOHD. Fared Mohd. Khalid memakaikan baju Melayu kepada Mohd. Afiq Danish Ammar Aswan ketika Program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall Mutiara Rini, Iskandar Puteri, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana penceramah atau pendakwah untuk memberi tauliah dan ceramah di negeri ini asalkan menepati kriteria yang ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, antara kriteria utama adalah berlatar belakang pendidikan serta fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan selagi tidak bercanggah dengannya mereka dibenarkan untuk terus berurusan di negeri Johor.

“Selagi tepati kriteria yang ditetapkan oleh MAINJ, tidak ada masalah mereka dibenarkan untuk memberi tauliah di Johor. Kita ada lembaga dan Jawatankuasa Tauliah Pengajar dan Memberi Syarahan Agama Negeri Johor yang meneliti hal ini. 

“Jawatankuasa ini perlu diberi keyakinan penuh dalam memberi ketentuan tauliah ini. Alhamdulillah jawatankuasa ini tidak pernah bersifat berat sebelah. Jika kriteria ini ditepati, kita akan benarkan tanpa mengira siapa pun mereka,” katanya ketika ditemui pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall, di sini hari ini.

Pada 2016, kerajaan Johor mengeluarkan pekeliling dan arahan melarang 16 penceramah bebas mengajar kelas agama di negeri ini. Setahun berikutnya, Johor mengharamkan dua penceramah, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Ustaz Haslin Baharim berceramah di negeri ini berikutan pandangan mereka yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Jelas Mohd. Fared, MAINJ juga sentiasa mengemas kini senarai pentauliahan penceramah dan pendakwah yang dibenarkan memberi ceramah dan mengajar agar menepati kriteria ditetapkan.

Beliau menjelaskan, langsung tidak ada kriteria politik diletakkan oleh MAINJ dan mana-mana pendakwah dibenarkan tanpa mengira parti politik tertentu.

“Saya percaya pendakwah dan penceramah yang dibenarkan pun tidak sealiran dengan mana-mana parti politik tertentu. Saya percaya Johor tidak pernah mengambil kira itu sebagai keutamaannya tetapi kelayakan perlu bertepatan dengan kehendak MAINJ,” katanya.

Terdahulu, tular satu dokumen bertarikh 17 Mac lalu mengenai beberapa nama penceramah terkenal tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di sekitar Selangor selepas tauliah mengajar mereka ditarik balik oleh Majlis Agama Islam Negeri itu.

Antaranya ialah bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd. Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat.

Dalam pada itu, kerajaan Johor masih belum membuat keputusan sama ada Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar diamalkan di negeri ini dan ia hanya akan diketahui selepas jawatankuasa khas di bawah Jabatan Mufti mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal itu terlebih dahulu.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang diputuskan itu nanti haruslah disambut baik kerana ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan umat Islam di negeri ini. 

“Kita ada jawatankuasa khas menetapkan sebarang pengisytiharan mana-mana kelompok pegangan atau tarekat sama ada bertepatan dengan landas Islam atau sebaliknya. Saya mohon semua menghormati keberadaan jawatankuasa ini dan berikan mereka kepercayaan sepenuhnya untuk membuat keputusan bagi Johor.

“Sebaik sahaja jawatankuasa bermesyuarat dan bersidang mereka akan memberikan keputusan sama ada ia boleh diamalkan atau tidak di Johor,” katanya sebagai mengulas kedudukan tarekat itu di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya