Boleh ambil baju raya percuma di RUTC Klebang Besar - Utusan Malaysia

Boleh ambil baju raya percuma di RUTC Klebang Besar

ROZITA Samad mengukur saiz baju kurung pada anaknya, Nur Zahra Farhana Othman, 9, di Butik Rakyat 3.0 Keluarga Malaysia di RUTC Klebang Besar, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 10,000 helai baju raya diberikan secara percuma di Butik Rakyat 3.0 Keluarga Malaysia yang dibuka di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar, di sini.

Pengerusinya, Ashwad Abd. Rahim berkata, program itu merupakan acara tahunan yang dibuat sejak tiga tahun lalu bagi memastikan setiap golongan dapat merasai kemeriahan Syawal.

Katanya, antara jenis pakaian yang disediakan adalah baju kurung, baju kebaya, jubah, selendang, tudung, baju Melayu dan seluar denim lelaki dan wanita.

“Sebelum ini kita telah menganjurkan program sama, namun pada tahun ini jumlah baju percuma yang berjaya dikumpul dan dipulihkan meningkat kepada 10,000 helai. Jadi, lebih ramai yang berpeluang untuk memilih dan mengambil baju raya ini secara percuma,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, pengunjung yang datang hanya perlu membuat pendaftaran dan boleh mengambil tiga helai pakaian yang menjadi pilihan hati.

Katanya, selain pakaian, butik itu juga menawarkan 1,500 pasang kasut dan sandal untuk kanak-kanak serta orang dewasa.

“Baju-baju tersebut merupakan sumbangan butik dan orang ramai yang telah dipilih serta dipulihkan. Baju-baju ini telah dipilih secara teliti dan dalam keadaan yang masih baik serta cantik untuk dipakai, malah telah dibasuh sebelum diberikan kepada orang ramai,” jelasnya.

Katanya, seramai 300 pengunjung terawal turut diberikan beras lima kilogram secara percuma pada setiap hari butik itu dibuka iaitu bermula pukul 2 petang sehingga 12 tengah malam, sehingga 30 April ini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rozita Samad, 37, memberitahu, ini adalah tahun kedua dia memanfaatkan bantuan itu dengan mengambil beberapa helai baju kurung untuk anak perempuannya yang berusia sembilan tahun.

“Alhamdulillah dengan pemberian percuma baju raya ini, dapatlah saya dan anak menambah koleksi baju sempena Hari Raya Aidilfitri tanpa perlu berbelanja lebih,” katanya yang menetap di Durian Tunggal, Alor Gajah dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya