LUMUT: Barisan Nasional (BN) memandang serius terhadap penyebaran dokumen yang digelar sebagai PasLeak jika benar-benar sahih kerana ia menunjukkan wujudnya usaha terancang untuk memecah belah dan menjatuhkan parti itu menerusi kaedah politik tidak sihat.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pihaknya juga memandang berat perkara tersebut sekiranya tiada penafian dibuat atau penafian yang dibuat hanya bersifat mengalih pandangan seperti menyifatkannya sebagai berita sampah.
Menurut beliau, ironinya pihak yang dikaitkan itu mengakui memang ada perbincangan sesama mereka tetapi butiran yang dibincangkan itu tidak diketahui.
“Walau bagaimanapun, kita di peringkat BN tidak mahu membuat tuduhan-tuduhan tanpa bukti-bukti yang kukuh tetapi setiap perkara yang keluar itu perlu dipandang serius oleh pihak kepimpinan kerana ia menyentuh tentang usaha memecahbelahkan kita (BN).
“Pada masa sama, (dokumen itu) cuba bermain dengan satu politik yang tidak sihat, adanya pelbagai bentuk perancangan dan ‘grand design’ (menjatuhkan BN) dalam bentuk permainan politik, walaupun kita tidak tahu sama ada perkara ini benar atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya dan Jariah Ramadan di Kampung Teluk Muroh di sini semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu, sehingga kini tiada pihak yang menafikan dokumen tersebut walaupun ada pihak yang mencabar supaya bersumpah atau membuat kenyataan penafian secara lebih jelas.
Jelas Zambry, walaupun pihaknya tidak mahu terjebak dalam hal sebegitu, pihaknya maklum jika dokumen itu benar, kebiasaannya perancangan sebegitu tidak akan dimaklumkan kepada umum menerusi saluran rasmi parti politik berkaitan.
“Di pihak BN, kita memandang serius terhadap sebarang usaha, bukan hanya PasLeak ini sahaja, tetapi juga kepada mana-mana tindakan yang cuba untuk meruntuhkan, memecahbelahkan atau ‘membunuh’ pemimpin BN melalui tuduhan-tuduhan yang dikenakan atau fitnah-fitnah yang dilemparkan.
“Tuduhan-tuduhan itu juga kita anggap serius kerana ia melibatkan sistem kehakiman dan sistem undang-undang yang sepatutnya tidak dibincangkan secara begitu,” jelas beliau.
Beliau mengulas dokumen PasLeak yang tular mendakwa terdapat perbincangan dalam kalangan pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) agar proses kehakiman terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dipercepatkan, selain usaha menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menerusi pertuduhan jenayah. – UTUSAN