Bimbang diusir, penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong mohon penjelasan - Utusan Malaysia

Bimbang diusir, penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong mohon penjelasan

SEBAHAGIAN daripada penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong, Georgetown, Pulau Pinang mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan negeri menjelaskan status tanah mereka kerana bimbang diusir. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kira-kira 90 penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong di sini memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pelan pembangunan untuk komuniti nelayan di kawasan tersebut.

Jurucakap Persatuan Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong, Wafiuddin Hamdan berkata, ini kerana penduduk dimaklumkan struktur- struktur di sepanjang pantai Tanjung Tokong itu akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan kawasan rekreasi sebuah sekolah antarabangsa di situ.

Katanya, kampung seluas 1.3 hektar itu telah diduduki sejak 2005 dan terdiri daripada 78 struktur seperti rumah nelayan, rumah inap desa, kabin bomba komuniti, setor nelayan, pondok rehat nelayan, surau dan pasar nelayan.

“Baru-baru ini empat buah struktur iaitu bangsal nelayan telah menerima notis perobohan dan ini amat mengelirukan kami kerana tiada penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai status tanah ini. Keadaan ini amat merisaukan penduduk dan kami ingin mendapatkan penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri mengenai situasi dan masa depan kami di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk kampung itu sudah lama menetap di situ yang diwarisi daripada nenek moyang mereka yang merupakan nelayan yang menerokai kawasan pesisiran pantai.

“Namun, apabila pembangunan berlaku dan kerja penambakan dimulakan pada 2005, penduduk terus meneroka kawasan pesisiran pantai baharu, iaitu kawasan tempat tinggal dan juga kawasan kegiatan ekonomi mereka sehingga ke hari ini,” katanya.

Tambahnya, permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) telah dibuat sebanyak tiga kali oleh penduduk sejak 2012 termasuk permohonan Kebenaran Mengguna Tanah Kerajaan (KMTK). Namun, kesemua permohonan TOL ditolak manakala permohonan KMTK masih belum mendapat jawapan rasmi.

“Jadi kami ingin bertanya apakah status tanah ini, dan jika tidak ada pemilik atau pelan pembangunan, apakah tindakan atau bantuan seterusnya oleh kerajaan negeri atau agensi-agensi terlibat untuk membantu menyelamatkan penduduk serta komuniti nelayan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Ishak Mohd. Yusof, 49, berkata, dia mengusahakan bot pelancong dan bot nelayan di kawasan itu sejak 2006 dan amat bimbang sekiranya hilang mata pencarian jika dihalau keluar dari kampung itu.

“Rata-rata sumber pencarian penduduk di sini adalah daripada hasil laut dan kami meminta kerajaan negeri bantu kami sebagai penduduk tempatan di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, beliau telah berusaha membantu penduduk kawasan itu sejak tahun lalu dengan mengadakan perbincangan bersama pemaju dan agensi terlibat.

“Difahamkan tanah berkenaan adalah tanah konsesi dan menerusi apa yang saya dimaklumkan penduduk terlibat akan diberikan ex-gratia oleh pemaju kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya