KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak melihat karier dalam bidang politiknya yang sudah melebihi 30 tahun sebagai satu tindakan untuk meraih populariti semata-semata.
Sebaliknya, Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, berkhidmat untuk rakyat sehingga ke liang lahad menjadi pegangannya untuk terus bertahan meskipun menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran sebelum ini.
“Kita berpaut dalam gelanggang politik bukannya untuk mendapat glamour, tetapi kita nak berkhidmat maknanya beramal. Apabila beramal ini tak harus putus, sampai ke liang lahad.
“Amalan kita (untuk) bantu rakyat dan bantu negara kita. Ini penting kepada kita. Itu menjadi ikatan walaupun berbagai rintangan dan berbagai cabaran kita lalui, tetapi kita terikat dengan niat yang kita mahukan bagaimana untuk meletakkan negara ini di peta dunia sebagai sebuah negara yang membangun, yang rakyatnya berpadu dan bersatu.
“Janganlah kita terkenal dengan benda-benda yang Malaysia terkenal dengan kadar jenayah, kadar covid dan kadar rasuah yang begitu tinggi, (sehingga) mencemarkan nama kita,” katanya, malam tadi.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tayangan perdana dokumentari perjalanan politik beliau di Rex, di sini.
Justeru Mohd. Shafei berkata, perkara yang penting adalah untuk melihat keadaan bagaimana negara ini perlu ada perubahan yang begitu besar.
“Jadi saya berharap yang mana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (Pru-14) lalu, kita pernah berubah dan mengubah keadaan yang ada.
“Bukan senang, tetapi kita sedar dan tahu juga tidak mudah bagi kita melakukan sesuatu perubahan dan padanya kekitaan sokongan daripada sejumlah besar rakyat di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN