KOTA BHARU: Pemakaian tanjak yang semakin popular di negara ini menyaksikan pembuatnya tidak menang tangan menyiapkan alas kepala tradisi lelaki Melayu itu untuk digayakan pada 1 Syawal nanti.
Antaranya, pembuat tanjak dari Pulau Melaka, di sini, Abdul Hakim Ismail, 27, yang bertungkus-lumus sepanjang Ramadan ini untuk menghasilkan kira-kira 100 pasang tanjak raya yang ditempah pelanggan.
Abdul Hakim memberitahu Utusan Malaysia, bagi menjaga kualiti, dia memerlukan antara dua hingga tiga hari untuk menyiapkan setiap satu alas kepala tersebut yang dibuat dengan penuh teliti dan rapi.
Katanya, sambutan Aidilfitri yang kembali meriah tahun ini selepas dua tahun suram akibat Covid-19 menyebabkan tempahan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak naik mendadak.
“Golongan muda yang paling ramai membeli tanjak buatan saya untuk bergaya pada Aidilfitri nanti. Mungkin kerana mereka sudah ada kesedaran untuk menjaga identiti warisan bangsa sendiri.
“Bagi memastikan setiap tempahan pelanggan siap sebelum 1 Syawal, saya terpaksa bekerja lebih keras termasuk bersengkang mata tidak tidur malam untuk membuat tanjak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Abdul Hakim, untuk tahun ini, rekaan tanjak yang paling laris ialah tanjak warisan yang diperbuat daripada kain songket dan pelikat yang dijual pada harga bermula RM70 hingga RM200.
“Ada pelanggan kata dia mahu bertanjak untuk sambut hari raya dan pergi ke majlis rumah terbuka serta kenduri kahwin. Malah ada keluarga yang tempah beberapa pasang kerana mahu memakai tanjak beramai-ramai,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azmi Saari, 34, berkata, dia yang bekerja sebagai penebar roti canai di bandar ini sudah tidak memakai topi, sebaliknya memilih memakai tanjak ketika mencari rezeki sejak dua tahun lalu.
“Saya rasa selesa menebar roti canai memakai tanjak, jadi saya sudah tidak pakai lagi topi sebagaimana penebar roti canai lain,” katanya. – UTUSAN