Bersatu teruskan perbincangan parti-parti senada

Bersatu teruskan perbincangan parti-parti senada

MUHYIDDIN Yassin ketika hadir mesyuarat MPN di Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal meneruskan perbincangan dengan parti-parti lain yang senada dengan mereka selepas sambutan Aidilfitri ini. 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan perbincangan strategi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus mengelakkan pertembungan. 

“Saya fikir mungkin bulan puasa lambat sikit dan apabila sudah raya, kalau keadaan mengizinkan dan ada kecenderungan serta minat mana-mana parti sekali pun untuk bertemu dan berbincang cara menghadapi PRU15 secara bersama-sama. 

“Ini bagi mengelakkan pertembungan antara satu sama lain… kita akan cuba usahakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini hari ini. 

Dalam masa sama, beliau berkata, ia juga bergantung kepada semua pihak selain pihak-pihak lain yang sependapat bahawa langkah itu wajar untuk menentukan kemenangan dalam pilihan raya akan datang. 

Sebelum ini media melaporkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengesahkan beliau sedang mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU15.

Beliau dipetik berkata, usaha itu bagaimanapun adalah langkah awal untuk beliau mendapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya