Bersatu gagal gantikan UMNO - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Bersatu gagal gantikan UMNO – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal mencapai hasratnya untuk menggantikan UMNO sebagai parti politik Melayu dominan di negara ini.

Ini kerana, beliau berpandangan, Bersatu sudah jauh menyimpang daripada apa yang diperjuangkan sejak parti itu ditubuhkan pada 2016.

“Presiden Bersatu kerap kali mengulangi kenyataan bahawa partinya ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Cita-cita Bersatu, pada beliau ialah memberikan orang Melayu sebuah parti yang bebas daripada rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.

“Bagi beliau, Bersatu adalah alternatif yang lebih baik, dipandu nilai dan mempraktikkan kepimpinan bermoral.

“Namun hingga saat ini, kita tidak melihat kelainan yang ditawarkan Bersatu. Tiada ideologi yang tuntas. Tiada rencana yang luar biasa untuk bangsa dan negara, tiada kepimpinan yang mempersonakan baik dari segi ketokohan, idea mahupun conviction,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Disebabkan itu, katanya, apabila Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dibincangkan oleh Jemaah Menteri, menteri daripada Bersatu adalah yang paling lantang mengkritik cadangan kerajaan.

“Kononnya demi sebuah ketelitian dan penambahbaikan, tetapi semua orang tahu bahawa cerita sebenar ialah kerana mereka rasa terpukul dengan RUU tersebut. Merekalah punca utama keperluan RUU tersebut diusulkan untuk dijadikan undang-undang.

“Daripada 39 ahli parlimen yang melompat, 26 telah menyertai Bersatu, dilantik menjadi menteri dan mengurus negara ini. Maka demikianlah murninya cita-cita penubuhan Bersatu,” katanya.

Sebaliknya, Mohamed Khaled berkata, yang ditawarkan Bersatu kepada orang Melayu bukannya nilai dan politik moral yang lebih bermutu dan baik, tetapi pemimpin yang khianat pada mandat pemilih dan parti itu diangkat memimpin negara dan bangsa.

“Rakyat bingung entah apa yang bermoral tentang Bersatu ini. Perhatikan juga lapisan kedua pemimpin Bersatu.

“Adakah orang Melayu akan merasa yakin dengan kualiti, pemikiran dan conviction mereka? Lihat sahaja bagaimana mereka menguruskan kementerian mereka, menyantuni rakyat dan pelbagai dasar yang mereka perkenalkan,” katanya.

Beliau juga menganggap, apa yang dilakukan oleh pemimpin Bersatu semuanya menjurus kepada kecuaian kepimpinan dan kegagalan dalam kepimpinan.

“Mengungkap idea besar dan cita-cita besar itu sangat mudah. Akhirnya ideal dengan kerja nyata itu adalah sangat sukar untuk diterjemahkan.

“Bersatu adalah projek politik yang gagal dan tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana untuk selama-lamanya. Sebab utama kenapa ia gagal adalah kerana Presiden Bersatu tidak mempunyai conviction pada apa yang beliau war-warkan.

“Akhirnya, secara nyata, beliau hanya ingin kuasa, bukan kesanggupan untuk perjuangan yang panjang dan suci untuk orang Melayu dan tanah air,” katanya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya