IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat keputusan berhubung idea gabungan beberapa parti atau khemah besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan mengenai perkara itu perlu dibincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Menurutnya, sebarang pendirian berhubung idea khemah besar akan diumumkan sendiri oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Setakat ini kita belum berbincang khemah mana yang kita nak masuk. Khemah besar atau khemah kecil terserah kepada Presiden bila tiba masanya. Rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) tentu bersama kita komited terutama sekali di Semenanjung ini.
“Pas dan Bersatu sebagai rakan akrab, rakan kongsi yang akan meneruskan agenda perjuangan agama bangsa dan tanah air menolak kleptokrasi, segala bentuk kemungkaran dan salah guna kuasa ini. PN akan meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat dan negara untuk memperbaiki imej negara yang tercalar dengan teruk sekali,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia Negeri Perak di Masjid Hajjah Puteh Mahani, Bercham Raya di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar tidak terus menutup ruang perbincangan bersama semua parti politik blok pembangkang untuk PRU15.
Sementara itu, pada program hari ini, Ahmad Faizal turut menyampaikan makanan sahur kepada pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 7, Jalan Tambun di sini. – UTUSAN