SYURGA makanan.Itulah ungkapan sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Menurut Pakar Diet dan Pemakanan Hospital Pantai Sungai Petani, Nur Zakira Imana Mohd. Fadzil, bagi individu yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis, ibadah berpuasa dibenarkan tetapi perlu mengikut aturan tertentu supaya tubuh tetap cergas menjalani ibadat berpuasa.
Individu dengan masalah kencing manis, antara risiko yang mungkin terjadi jika tidak mengawal pengambilan makan harian dan ubat-ubatan ialah hypoglycemia (kekurangan paras gula dalam darah), hyperglycemia (paras gula dalam darah yang tinggi), yang mana pesakit berkemungkinan mengalami dehidrasi iaitu kehilangan banyak air dalam badan yang boleh memudaratkan kesihatan pesakit.
SAHUR PENTING
Nur Zakira berkata, pesakit perlu mendisiplinkan diri dalam mengamalkan rutin bersahur (sebelum berpuasa), berbuka ringan (ketika masuk waktu berbuka), berbuka sederhana (malam selepas selesai solat maghrib), makan menu ringan sebelum tidur serta mengambil ubat mengikut dos dan masa yang ditetapkan.
“Ambil ubat mengikut dos dan masa bersesuaian seperti dinasihatkan oleh doktor. Kebanyakan doktor membenarkan pesakit hipertensi atau diabetik berpuasa pada keadaan pesakit terkawal dan perlu memantau kesihatan diri.
“Namun, pesakit mesti terlebih dahulu berbincang dengan doktor bagi mendapatkan nasihat mengenai pengambilan ubat atau insulin mengikut dos dan masa yang bersesuaian dengan waktu berpuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi penghidap diabetes pemantauan bacaan glukosa darah dari rumah mestilah dilakukan secara berkala iaitu sebelum berbuka puasa, dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa dan semasa bersahur sekurang-kurangnya tiga hari dalam seminggu.
Begitu juga dengan pesakit hipertensi, pemantauan tekanan darah secara kerap amatlah digalakkan terutama sekali bila bergelaja seperti sakit kepala yang teruk dan sakit tengkuk. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk meneruskan puasa, pesakit mesti bersedia berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan.
“Oleh itu, jangan tinggalkan sahur dan pastikan makan hidangan lengkap. Sahur disarankan selewat-lewatnya setengah jam sebelum imsak. Pesakit digalakkan mengambil satu hidangan lengkap, seimbang mengandungi sumber karbohidrat kompleks seperti nasi, pasta, bihun, roti atau biskut , sumber protein seperti ayam, ikan, telur, daging, susu serta sumber serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Pesakit yang tidak mengambil zat mencukupi ketika bersahur berisiko mengalami hipoglisemia,” katanya.
Beliau turut menyarankan pengambilan susu formula khusus kencing manis dalam kuantiti betul kerana kandungan serat yang tinggi boleh memberikan rasa kenyang yang lebih lama. Pada masa sama menstabilkan bacaan glukosa darah sepanjang berpuasa.
Elak sajian tinggi garam, gula
Sajian tinggi garam seperti ikan masin, telur masin, makanan proses seperti nuget dan sosej serta makanan bertin atau sos, perlu dielakkan bagi mengawal tekanan darah dan mengelakkan dehidrasi kala berpuasa.
Kata Nur Zakira, pesakit hipertensi mesti membiasakan diri dengan hidangan kurang rasa garam dan boleh menggantikan dengan perasa semulajadi seperti limau nipis, lemon, halia, bawang putih dan sebagaikan untuk menyedapkan rasa makanan.
“Mula dengan minum air kosong, sepotong buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum makan nasi dan hidangan protein. Pilih makanan kurang kandungan gula, garam dan kurang lemak seperti kaedah membakar, kukus, sup atau panggang,” katanya.
Tambah Nur Zakira, pesakit diabetes dan hipertensi digalakkan mengambill snek sihat waktu minum malam (selepas tarawih).
“Pesakit boleh mengambil salad, buah-buahan dan karbohidrat tinggi serat seperti roti mil penuh, oat, kekacang serta sandwich. Ubi keledek atau jagung rebus adalah antara snek sihat disarankan untuk moreh. Namun haruslah dimakan dalam kuantiti dibenarkan,” katanya.
Tegasnya, pengambilan air yang cukup amat penting untuk mengelakkan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.
“Sebaiknya minum air kosong dan susu sahaja. Kita disarankan mengambil air enam hingga lapas gelas sehari dari waktu bangun bersahur sehingga sebelum tidur. Perlu ingat, bulan puasa ini, jumlah air yang perlu diambil tetap sama tetapi masa pengambilan sahaja yang berubah,” ujarnya.