KUBANG PASU: Kesemua parti yang memiliki matlamat sama untuk mengembalikan kestabilan politik di negara ini perlu berhenti daripada bertelagah dan meletakkan elemen kesatuan sebagai keutamaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, prinsip keutamaan atau ‘fiqh aulawiyat‘ perlu menjadi pegangan semua pihak agar impian untuk merealisasikan matlamat tersebut dapat menjadi kenyataan.
Katanya, setiap parti ketika ini mungkin merasakan kepimpinan mereka layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri selepas berakhir PRU-15.
“Tetapi sebelum kita bercakap mengenai menjadi Perdana Menteri, mari bercakap mengenai kesatuan dulu. Ini pertelagahan pun tak habis-habis dengan semua nak bergaduh, dah sibuk nak bercakap mengenai menjadi Perdana Menteri. Bagi saya kita selesaikan satu-satu dulu mengikut prinsip ‘fiqh aulawiyat‘. Keutamaannya sekarang adalah untuk memastikan wujud kesatuan antara parti tertentu bagi berdepan PRU-15,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sebuah restoran di Jitra dekat sini malam semalam.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti politik lain bagi menghadapi PRU-15.
Malah pada 2 April lalu, Muhyiddin dalam hantaran Facebooknya mengakui telah mengambil inisiatif bagi bertemu dengan beberapa pemimpin utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang, bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.
Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, Bersatu sentiasa komited untuk memastikan wujud kesatuan politik dengan mana-mana parti yang hendak ‘duduk’ bersama supaya tidak berlaku persaingan antara satu sama lain.
“Kita lihat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila berlaku perpecahan dalam kalangan kita yang memiliki matlamat sama, maka apa yang berlaku adalah pihak lain yang menang,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, keterbukaan Bersatu dalam perkara tersebut tidak bermaksud parti itu akan merayu kepada mana-mana parti lain untuk mewujudkan kesefahaman dimaksudkan.
“Setakat ini yang betul-betul ikhlas nak memastikan wujud kesatuan itu adalah Muhyiddin manakala kepimpinan parti lain adalah bercakap di sana sini. Jadi daripada asyik bercakap tanpa hala tuju, ayuh kita duduk bersama dan berbincang. Kita terbuka, bergantung kepada pihak lain sama ada nak bincang atau tidak. Tetapi tidaklah bermakna kita akan merayu kerana kita juga akan menilai bagaimana kesungguhan pihak lain dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN