KUANTAN:Konsep yang diketengahkan menara Kuantan 188, untuk memberi pengalaman dan suasana baharu kepada pelanggan yang ingin bebuka puasa di altitud tinggi sambil melihat keindahan bandar Kuantan.
Terletak 98 meter di atas tanah, restoran yang akan beroperasi sepenuhnya bermula Mei depan, bukan sahaja menawarkan pengalaman menjamu selera yang tinggi tetapi pemandangan 360 darjah pusat bandar, Sungai Kuantan dan Laut China Selatan.
Namun pada bulan ini, restoran tertinggi di Pantai Timur itu, buat pertama kalinya menawarkan pakej Berbuka Puasa Di Awan sehingga 28 April nanti iaitu sepanjang Ramadan.
Pengarah Urusannya, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, restoran terletak di bawah skydeck itu dijangka menjadi tumpuan dalam kalangan mereka yang gemar mencari lokasi berbuka puasa yang mampu memberikan suasana terbaik seterusnya tidak dapat dilupakan.
“Selain dari daerah ini, kita harap orang ramai dari luar sana turut berkunjung dan menikmati juadah berbuka puasa di restoran beraltitud tinggi itu.
“Sejak dibuka 15 Disember tahun lalu, kita telah merekodkan lebih 50,000 pengunjung ke Kuantan 188 ini.
“Selain menikmati hidangan berbuka puasa, tetamu juga dibawa melalui perjalanan augmented reality (AR) dengan imej maya 3D dan tema seperti padang pasir, permaidani ajaib aladdin, unta dan labah-labah. Tetamu boleh menangkap imej atau merakam video menggunakan telefon pintar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Kuantan 188, mercu tanda baharu di ibu negeri, Kuantan sekali gus menduduki tempat kedua selepas Menara Kuala Lumpur (421 meter) yang merupakan menara tertinggi di negara ini.
Menara itu dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur sebelum diserahkan kepada kerajaan Pahang.
Zulkifli dalam pada itu berkata, selain berbuka puasa, tetamu boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di geladak bawah restoran.
“Kemudahan solat di dek bawah akan memudahkan tetamu kerana mereka tidak perlu keluar dari menara.
“Menara Kuantan 188 turut menawarkan pakej moreh (makan malam selepas tarawih) dengan caj berasingan,” katanya.
Sementara itu, katanya, selepas Aidilfitri nanti, restoran itu akan beroperasi setiap hari dengan menawarkan tempat makan seperti bar sushi, steamboat, stesen kopi dan pelbagai jenis kek, roti dan pencuci mulut.
Tambahnyat, restoran moden yang mempunyai kapasiti tempat duduk maksimum 120 orang itu menawarkan pemandangan indah pusat bandar, Sungai Kuantan, hutan bakau dan lautan.
“Dari tingkap kaca di restoran, tetamu boleh menyaksikan kapal nelayan berwarna-warni menuju ke Laut China Selatan di sepanjang Sungai Kuantan. Pemandangan ini sememangnya antara yang ditunggu-tunggu,” katanya. -UTUSAN