PETALING JAYA: Saiful Bukhari Azlan yang merupakan bekas pembantu peribadi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan mengundur diri sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa hari ini.
Saiful Bukhari menyertai Bersatu pada 7 Januari 2021 dan menjadi ahli Bersatu Bahagian Bentong, bagaimanapun, keputusannya keluar parti menyaksikan beliau hanya bertahan di dalam parti itu selama satu tahun empat bulan.
Beliau yang berkongsi tangkap layar memaparkan laporan media tempatan dan surat pengundurannya sebagai ahli Bersatu di Facebook berkata, fokusnya kini kepada keluarga dan kerjaya.
“Berehat seketika sebelum terus melangkah. Terima kasih Bersatu.
“Fokus kini pada #SSPAnalytics, kerja dan keluarga Bismmillah,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, menerusi cetakan surat itu, keputusan untuk berundur telah dipanjangkan ke pengetahuan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin melalui sepucuk surat pada 22 April lalu, selain dilaksanakan menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Parti.
“Bahawa saya, Mohd Saiful Bukhari bin Azlan bernombor keahlian 00468423 ingin memaklumkan telah menyampaikan hasrat saya untuk berundur sebagai Ahli Biasa Seumur Hidup PPBM melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, bertarikh pada 22hb April 2022 dan berkuatkuasa hari ini, Isnin, 25hb April 2022. Ia di laksana menurut Fasal 10.1 Perlembagaan Parti,” katanya.
Untuk rekod, Saiful Bukhari dilantik Ahli Jawatankuasa Komunikasi Strategik Jabatan Penerangan Bersatu pada Jun 2021 selain pernah memegang jawatan Ketua Unit Penyelidikan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) bagi tempoh Mei 2021 hingga Oktober 2021.
Utusan Online masih menunggu maklum balas daripada beliau berhubung perkara itu. -UTUSAN