Bekas Ahli Parlimen Sipitang sedia tanding PRU15 - Utusan Malaysia

Bekas Ahli Parlimen Sipitang sedia tanding PRU15

YUSOF Yacob (kiri) beramah mesra dengan kanak-kanak OKU di PDK, Sipitang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIPITANG: Walaupun masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, Datuk Yusof Yacob memberi gambaran beliau bersedia menjadi calon Parlimen sekiranya dipilih oleh pucuk pimpinan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Sipitang semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 1995 itu berkata, beliau tidak pernah terhegeh-hegeh mahu menjadi calon namun sekiranya pucuk pimpinan memilihnya sebagai calon Parlimen maka, beliau bersedia.

Kenyataan itu secara tidak langsung menggambarkan hala tuju politik ADUN Sindumin tersebut yang bakal menyertai parti lain. Namun, perkara itu akan diumumkan kemudian.

Menerusi kenyataan itu, beliau tidak mahu orang tersalah faham bahawa beliau sedang melobi untuk menjadi calon. Sejak dahulu semasa bersama UMNO, beliau tidak pernah melobi menjadi calon.

Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) itu berkata, berdasarkan analisis yang dibuat, kemenangan seorang calon itu bukan semata-mata kerana kekuatan parti tetapi juga personaliti calon.

“Parti yang kuat sahaja tidak menjamin kemenangan sekiranya calon yang diletakkan tidak disukai rakyat. Maknanya, parti perlu ada kekuatan kerana ia menyumbang 40 peratus kepada kemenangan manakala kekuatan personaliti calon menyumbang sebanyak 60 peratus.

“Jika diangkat oleh parti menjadi calon sekali pun namun, jika kita tidak mencapai indeks pencapaian utama (KPI), tidak buat kerja maka, macam mana mahu menang? Itu sebabnya saya selalu mengutamakan rakyat.

“Kita perlu menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan namun, keputusan mutlak memilih calon terserah kepada pucuk pimpinan parti,” katanya semasa mengulas kemungkinan beliau akan bertanding semula kerusi Parlimen Sipitang.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sipitang.

Mengulas lanjut katanya, kepimpinan parti pada masa ini perlu bijak memilih calon yang mampu meraih kemenangan dan bukan dipilih secara tangkap muat.

Jelasnya, pada zaman ini, pemikiran orang muda agak berbeza berbanding tahun 70-an.

“Ketika ini, rakyat menilai hasil kerja wakil rakyat yang dilihat ada kebolehan untuk melangkah jauh dan mempunyai cara berfikir dan kerja yang tersusun. Landskap politik negara akan berubah pada masa hadapan, terdapat keperluan untuk pemimpin-pemimpin Sabah bersatu dalam membela nasib rakyat. Sekiranya ada keperluan untuk pemimpin Sabah dan Semenanjung bersatu, usaha membela nasib rakyat akan dapat dijayakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya