KUALA TERENGGANU: Polis mematahkan helah seorang lelaki yang menjadikan lot kedai di sebuah pasar di daerah ini sebagai pusat penyimpanan mercun dan bunga api tanpa permit, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, serbuan di premis berkenaan menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang bernilai RM3,000.
Katanya, aktiviti penyimpanan mercun dan bunga api itu dipercayai didalangi seorang lelaki berusia 35 tahun.
“Suspek gagal mengemukakan lesen atau permit jualan dan mendakwa mempunyai bekalan barang larangan itu daripada pihak lain,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu katanya, seramai 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan mercun dan bunga api secara haram di daerah ini sepanjang Ramadan. – UTUSAN