BAGAN DATUK: Permintaan kelapa tua untuk dibuat santan pada hari raya Aidilfitri kali ini bukan sahaja meningkat dan bekalannya dijangka tidak mencukupi.
Seorang pengusaha kelapa di Kampung Sungai Baru di sini, Mohd. Rashid Mat Dani, 41, berkata, sehingga kini dia sudah menerima tempahan 50,000 biji kelapa dalam tempoh sebulan sejak sebelum Ramadan sehingga menjelang hari raya minggu depan.
Menurutnya, jumlah permintaan tahun ini meningkat berbanding 2020 dan tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19.
Katanya, berikutan permintaan yang tinggi kali ini, dia terpaksa bekerja keras untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Pertambahan permintaan kelapa semasa Ramadan dan hari raya kali ini sememangnya sudah dijangka kerana orang ramai sudah boleh bergerak lebih bebas berbanding semasa PKP tahun lalu dan sebelumnya.
“Dalam masa sama, permintaan kelapa untuk santan meningkat untuk kegunaan masakan harian dan membuat kuih muih termasuk lemang menjelang hari raya.
“Saya anggarkan tempahan mencecah 50,000 kelapa, sekarang saya harus bekerja keras untuk memastikan tempahan dapat dipenuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Rashid yang menjalankan perniagaan kelapa dengan memajak kebun kelapa daripada penduduk kampung berkata, dia menerima dan menjual tempahan kelapa hingga ke Kuala Selangor, Seremban dan dari beberapa peniaga di daerah di sini.
Dia yang dibantu empat pekerjanya berkata, dia akan cuba memenuhi tempahan kelapa yang dimahukan pelanggan.
“Sebenarnya saya sudah mahu menutup tempatan tetapi masih ada pelanggan yang datang mahu menempah kelapa, saya tak mahu menghampakan mereka yang datang,” katanya.
Mohd. Rashid berkata, kelapa Bagan Datuk menjadi pilihan pengguna untuk mendapatkan santan kerana kelapa dari sini sudah terkenal kerana kualiti santan dan lebih bersih.
Katanya, kelapa dari Bagan Datuk boleh diperah sehingga lima kali perahan untuk mendapatkan santan berbanding kelapa dari tempat lain hanya tiga atau empat kali perahan.
“Dengan sehingga kali perahan, ini sudah tentu akan menghasilkan santan yang lebih banyak. Santan kelapa dari Bagan Datuk sudah terkenal kerana kualitinya selain bersih,” katanya. – UTUSAN