MELAKA: Para peniaga di Bangunan Hang Tuah di sini meluahkan rasa kesal apabila khemah-khemah bazar Aidilfitri yang dibuka di hadapan premis menyebabkan kedai mereka terlindung daripada pandangan pengunjung.
Peniaga kedai gunting rambut, Ab. Razak Ali, 71, berkata, bazar Aidilfitri itu dibuka, pendapatan harian perniagaannya terjejas kira-kira 40 peratus.
Katanya, selain terlindung di sebalik khemah putih, pembukaan tapak juga menyukarkan pelanggan meletakkan kenderaan.
“Saja berniaga di sini lebih daripada 40 tahun dan ini bukan kali pertama khemah bazar didirikan di hadapan premis saya.
“Namun, sebelum ini masih terdapat lagi ruang antara khemah dengan kedai saya kira-kira 10 kaki, tahun ini memang rapat khemahnya sampai terlindung kedai saya,” katanya ketika sidang akhbar khas yang dianjurkan komuniti peniaga di situ.
Tambah Ab. Razak, sebelum ini kedainya dikunjungi sekitar 15 pelanggan sehari, namun sejak kelmarin jumlah itu merosot kepada tujuh orang sahaja.
“Saya tidak marah penganjur, teguran ini dibuat untuk pihak berwajib untuk meneliti atau berbinc
ang dahulu dengan peniaga di bangunan ini sebelum meluluskan tapak bazar. Saya harap tahun hadapan perkara ini tidak lagi berlaku kerana ia menyukarkan kami yang menyewa mencari pendapatan di bulan Ramadan ini,” tegasnya.
Sementara itu, peniaga kedai pakaian, Sheikh Abdul Aziz Sheikh Abdul Rahman, 72, pula memberitahu, dia kini runsing dengan situasi tersebut kerana telah mengeluarkan modal besar membeli stok pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Sebelum ini masih ada jarak, jadi tak ada masalah dan biasanya kedai pakaian saya sentiasa dikunjungi pelanggan dengan pulangan keuntungan bersih kira-kira RM30,000 sebulan. Sekarang ini saya risau, nak pusing modal pun tak boleh kalau macam ini,” katanya.
Sementara itu, wakil penganjur Melaka Grand Ramadan Bazaar, Mohd. Fikri Mohd. Ali berkata, pemasangan khemah bazar telah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
“Sepatutnya jumlah yang diluluskan adalah 147 tapak bazar, namun kami hanya dirikan 123 khemah sahaja kerana tidak mahu terlalu sesak. Kami juga telah berjumpa dengan beberapa peniaga di bangunan dan menawarkan tapak bazar kepada mereka dengan harga istimewa, perkara ini boleh dibawa berbincang,” katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya juga telah mengeluarkan kos yang tinggi untuk menyediakan pelbagai daya tarikan di kawasan itu termasuk memanggil artis jemputan dan memasang lampu di 76 batang pokok. – UTUSAN