KEMAMAN: Pasangan suami isteri terkilan apabila baju raya dan kelengkapan bayi sulung mereka yang dibeli semalam hangus dalam kebakaran di Kampung Bakau Tinggi, Chukai, di sini hari ini
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Mangsa, Nur Diana Atikah Rozde, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama suami, Mohamad Syafiq Izwan Abdullah, 22, bekerja dan terkejut mendapati kediaman yang disewa hangus 100 peratus.
“Jiran memberitahu rumah saya terbakar dan lebih terkilan apabila baju raya di samping barangan bayi yang dibeli di Kuantan, Pahang semalam turut hangus.
“Walaupun sedih dengan ujian Ramadan ini, tetapi saya dan suami bersyukur kami selamat,” katanya yang hamil empat bulan.
Nur Diana Atikah berkata, kediaman itu disewa sejak dua bulan lalu dan sebelum ini mereka tinggal bersama keluarga selepas berkahwin pada November 2021.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan kediaman sementara buat mangsa. – UTUSAN