‘Baju raya dibeli awal habis terbakar’

‘Baju raya dibeli awal habis terbakar’

DUGAAN awal Ramadan buat peneroka Felda, Ahmad Mazlan Mat Adam apabila rumahnya musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Felda Raya Jengka 14, Maran, Pahang. – FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang peneroka di Felda Raya Jengka 14 di sini berdepan ujian cukup besar pada Ramadan kali ini apabila kediamannya musnah terbakar dalam kejadian pukul 2.20 petang kelmarin.

Bukan sahaja semua peralatan rumah, malah, pakaian bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dibeli awal oleh peneroka berkenaan, Ahmad Mazlan Mat Adam, 49, turut musnah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mazlan berkata, ketika kejadian, dia keluar be­kerja dan hanya adiknya, Nor Amaniah, 35, serta dua anak­nya, Ahmad Dhani Ikmal, 11, dan Maira Khaleeda, 7, berada di rumah dan sedang berehat di bahagian dapur.

Katanya, dia yang ketika kejadian sedang bekerja membawa lori kelapa sawit segera bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan oleh Nor Amaniah.

“Apabila tiba di rumah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kedua-dua anak saya selamat tanpa sebarang kece­deraan walaupun semua barang rumah seperti televisyen, pera­bot, peti ais, pakaian sekolah dan buku teks hangus.

“Turut terbakar pakaian raya yang dibeli sebelum Ramadan serta semua peralatan rumah. Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000 jika diambil kira nilai rumah,” katanya di sini semalam.

Ahmad Mazlan berkata, dia sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan menumpang sementara di rumah jiran sementara mencari kediaman untuk disewa.

“Ini merupakan dugaan yang cukup besar buat kami sekeluarga pada bulan Ramadan ini dan saya reda kerana ia merupakan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jengka, Penolong Penguasa Bomba Raja Mohd. Arif Raja Shamsudin berkata, kebakaran itu melihatkan sebuah rumah separuh batu.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jengka dengan dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Temerloh berjaya memadam api sepenuhnya dalam tempoh 30 minit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya