ATM rampas 510 kilogram daun ketum

ATM rampas 510 kilogram daun ketum

ANGGOTA ATM menunjukkan bungkusan daun ketum yang dirampas di tebing Sungai Golok di Kampung Nibong, Tanah Merah, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas longgokan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 510 kilogram bernilai RM15,300 yang ditinggalkan di tebing Sungai Golok dekat Kampung Nibong, di sini pagi tadi.

Longgokan bungkusan daun ketum itu ditemukan anggota Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) yang melakukan rondaan rutin di sepanjang tebing itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha’ari Kamis berkata, sejak Januari hingga hari ini, sembilan kes rampasan ketum direkodkan oleh ATM menerusi Op Merpati di kawasan negeri ini yang bersempadan dengan Thailand.

“Rampasan ini memberi petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand semakin aktif.

“Hal ini berikutan permintaan dan harga daun tersebut yang dipercayai untuk pasaran Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abu Hasan Assha’ari memberitahu, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Katanya, ATM menyeru kepada penduduk setempat untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan.

“Hal ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya segera diambil untuk menjamin kedaulatan negara dan menjaga keselamatan sempadan Malaysia- Thailand,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya