Aplikasi Quran Isyarat pertama di dunia untuk OKU pendengaran - Utusan Malaysia

Aplikasi Quran Isyarat pertama di dunia untuk OKU pendengaran

TUANKU Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud melihat replika Bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM ketika melawat tapak pameran selepas berkenan merasmikan Bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Pelancaran Aplikasi Quran Isyarat USIM di Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah dengan membangunkan Aplikasi Quran Isyarat yang pertama di dunia membolehkan komuniti orang kurang upaya (OKU) masalah pendengaran membaca al-Quran.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, aplikasi yang dibangunkan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM itu turut mendapat pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ sebagai yang pertama di negara ini.

“Kini, komuniti OKU pendengaran bukan sahaja dari Malaysia, malah dari seluruh pelosok dunia mampu membaca al-Quran menggunakan Aplikasi Quran Isyarat yang boleh dimuat turun melalui platform android dan iOS secara percuma.

“Pembangunan aplikasi ini bermula dengan usaha memenuhi permintaan Persatuan Orang Pekak Muslim Malaysia (Prisma) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (Nesda) seawal 2015 untuk mempelajari al-Quran sesuai dengan ketidakupayaan mereka mendengar dan bertutur,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Pelancaran Aplikasi Quran Isyarat USIM di sini hari ini.

Terdahulu, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud sebagai Tuanku Canselor USIM berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan pada 2017 dengan kos hampir RM1 juta itu lengkap dengan 30 juzuk kaedah tilawah al-Quran berbentuk isyarat kod tangan dan Transliterasi Makhraj.

Sementara itu, Pengarah UMMI, Dr. Norakyairee Mohd. Raus berkata, aplikasi tersebut disebar luas ke negara seperti Brunei, Singapura dan Indonesia selain dipromosikan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Aplikasi ini telah siap sepenuhnya 30 juzuk al-Quran cuma bezanya dari segi terjemahan, kami cadangkan negara yang berminat mengikut bahasa negara mereka misalnya Malaysia menggunakan Bahasa Melayu. Selain negara Nusantara, penyelidik dari UMMI turut dijemput mempromosikan aplikasi ini di Ekspo Dubai 2020 sebagai pendedahan di peringkat antarabangsa khususnya negara Arab,” katanya.

Beliau berkata, proses pembelajaran aplikasi itu menggunakan kaedah satu huruf dan dimulai dengan mengenal, menghafaz, membaca dan memahami al-Quran.

Jelas Norakyairee, oleh kerana kosa kata komuniti OKU pendengaran adalah terhad, maka keperluan melengkapkan proses membangunkan terjemahan mesra OKU perlu diterangkan dengan kaedah memahami isi kandungan al-Quran.

“Proses terjemahan ke Bahasa Melayu masih dalam pelaksanaan, di mana setakat ini surah al-Fatihah dan juzuk ke-30 telah lengkap dibangunkan manakala baki 29 juzuk lagi memerlukan dana khas lebih kurang RM3 juta bagi menyempurnakannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya