Pada penghujung April 2017, aku bersama tiga rakan bercuti di kawasan peranginan Genting Highland. Kami bertolak pada seawal jam 8 pagi dan terus ke taman tema. Seharian juga kami habiskan masa di situ sebelum bertolak pulang ke apartmen tempat kami menginap.
Apartmen ini kami sudah tempah awal menerusi talian. Nama pangsapuri ini tidak perlulah aku perkenalkan, rasanya ramai yang boleh meneka.
Namun sebaik sampai, kami berempat menelan air liur. Allah, betul ke tempat ini? Getus kami dalam hati. Dalam laman web tak adalah rupa sebegini. Tapi bila lihat depan mata saling tak tumpah macam bangunan tinggal tanpa penghuni.
Sebaik masuk menuju ke meja pendaftaran, semua terdiam. Mata masing-masing liar memandang sekeliling. Di dinding dan lantai nampak kesan kotoran dan lumut yang tidak dicuci.
“Alah, bukan kita saja bermalam di sini, cuba ingat balik masa di basement tadi, banyak kereta parking di bawah tu. Ramai yang menginap di sini,” kataku menyedapkan hati mereka walaupun tidak pasti kenderaan itu milik penyewa atau pekerja.
Sebaik mengambil kunci kami menuju ke lif, aku jeling di beberapa sudut persekitaran, nampak colok-colok yang masih berasap. Ingin sahaja aku buka mulut bertanya kepada rakan lain, tetapi takut pula jika mereka fikir yang bukan-bukan.
Berdekatan lif aku lihat ada sebuah restoran yang telah menutup operasinya. Keadaannya gelap dan bersawang. Dari dinding kaca aku dapat lihat dengan jelas pelbagai hiasan yang masih tergantung, pinggan mangkuk bersepah di meja serta peralatan yang sudah berhabuk. Pelik!
Dalam lif semuanya diam membatu. Aku pasti mereka letih kerana sehari suntuk sudah bersuka ria. Sebaik sampai di pintu bilik aku tergamam seketika kerana sebuah bilik yang bertentangan dengan bilik kami pintunya dipalang dan dipaku dengan kayu. Kami berpandangan.
Sebaik pintu dibuka, kami terkejut. Cadar di katil kusut seperti seseorang baru bangun dari tidur. Sekali lagi aku dan rakan-rakan berpandangan.
Aku hubungi kaunter pertanyaan dan minta seorang pengemas bilik datang untuk bersihkan bilik yang bersepah. Tidak lama kemudian muncul seorang wanita berketurunan Cina dalam lingkungan usia 50-an ke bilik kami.
“Auntie, kenapa bilik kami ini tidak kemas? Semalam ada orang menginap di sini ke?” tanya rakanku Omar kepada wanita tersebut.
“Err… saya tak tahulah sebab semalam saya cuti,” katanya sedikit gugup sambil jari jemarinya membetulkan cadar di tilam.
Aku, Uzzir dan Shah lantas ke balkoni untuk melihat pemandangan sekitar sementara menunggu wanita tersebut habis mengemas.
“Auntie, tempat ini memang sunyi ke? Saya tak nampak pun guest lain menginap di sini selain kami,” tanya Shah sambil meninjau sekeliling.
Wanita Cina tersebut tidak membalas pertanyaan tersebut. Sebaik selesai mengemas dia tergesa-gesa meminta diri untuk beredar.
Hampir satu jam juga kami berehat sebelum ambil keputusan untuk keluar mencari makanan. Ketika pintu lif terbuka kami terkejut. Di dalamnya kelihatan seorang lelaki tua berbangsa Cina sedang menjinjit sebuah beg plastik. Aku dan kawan-kawan hela nafas sambil urut dada.
“Fuhh, nasib baik tak gugur jantung kami tadi. Ingatkan kami sahaja yang menginap di sini, rupanya ada orang lain juga,” kataku sambil memandang lelaki tua separuh umur itu. Lelaki tersebut hanya tersenyum.
“Saya bukan tinggal di sini, saya berniaga di pasar mini dekat bawah lobi. Nanti kalau senang boleh mari beli barang-barang,” katanya ramah.
Kami berempat sedikit teruja dengan jawapannya. Nampaknya bolehlah kami beli minuman dan makanan ringan sebelum balik ke bilik nanti.
“Okey uncle, nanti kami singgah. Sekarang kami nak pergi makan malam dulu,” jawabku kembali.
“Eh, tapi saya mahu tanya sikit uncle, kenapa restoran di bawah tu kosong dan tidak terurus? Memang dah lama tutup? Saya lihat barang-barang di dalamnya semua ada lagi,” sambungku lagi.
Lelaki tersebut tergamam. Nampak raut mukanya tidak selesa. Dia langsung tidak menjawab, dan sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat lobi terus dia bergegas keluar.
“Okey dah sampai di parking ini. Jom kita gerak pergi makan,” kataku cuba menceriakan suasana. Setelah menghidupkan enjin kereta kami memandu keluar dari apartmen tersebut dan menuju ke pekan berdekatan untuk makan malam.
Hampir satu jam juga kami habiskan masa di kedai makan sebelum bertolak pulang. Sebaik sampai kami lantas berehat di sofa ruang tamu sambil berborak kosong.
Di blok bertentangan kami kelihatan beberapa unit diterangi lampu. Fikirku mungkin ada penyewa lain bermalam di situ. Dari cahaya bulan yang cerah malam itu aku perasan ada beberapa sosok sedang berdiri sambil bergelak ketawa di balkoni.
Aku selak langsir dari cermin sambil memerhatikan mereka. Namun suasana bising dan hingar bingar sebentar tadi serta merta menjadi senyap sunyi. Aku perasan sosok yang berada di situ seakan sedang memerhatikan aku.
Sekilas pandang memang jelas sosok tersebut seperti manusia biasa, tetapi yang anehnya wajah mereka langsung tidak jelas Dan tidak sampai beberapa saat kemudian lampu-lampu di hadapan blok tersebut semuanya terpadam. Kelibat sosok yang berada di balkoni tadi juga terus hilang. Suasana bertukar sunyi sepi seakan tiada apa-apa yang berlaku
Aku menggigil. Aku dapat rasakan ada sesuatu tidak kena. Tanpa buang masa aku terus masuk ke bilik, dan tarik selimut. Entah jam berapa terlelap aku tak pasti. Tahu-tahu saja hari sudah cerah.
Keesokkannya selepas selesai mengemas barang-barang kami terus ke lobi untuk mendaftar keluar.
“Miss, di mana pasar mini di apartmen ini?” tanyaku kepada penyambut tetamu berbangsa Cina yang berada di kaunter setelah selesai berurusan.
Niat aku hanyalah ingin membeli minuman dan beberapa bungkus jajan untuk dimakan sepanjang perjalanan pulang nanti.
Dia seakan tergamam dengan pertanyaanku. Sesekali nampak dahinya berkerut sambil memandang sekeliling.
“Err, kedai di apartmen ini semua sudah lama tutup. Pasar mini yang ada di belakang itu pun dah lebih setahun tutup,” katanya sambil tersenyum kelat. Aku dan rakan-rakan terdiam.
“Eh, semalam kami ada jumpa seorang uncle dalam lif. Dia kata owner pasar mini di apartmen ini. Dia yang offer kami datang ke kedainya,” sambung Uzzir sambil mengangkat beg sandangnya.
Gadis itu agak tergamam dengan kata-kata Uzzir. Raut mukanya berubah. Namun dia tidak memberi jawapan, sekadar memberitahu yang kedai tersebut sudah lama tidak beroperasi.
Kami berpandangan. Walaupun tidak mendapat jawapan memuaskan hati, namun kami tahu ada sesuatu yang tidak kena di apartmen ini. Selepas kami mengisi barang-barang di but kereta terus kami bergegas pergi meninggalkan kawasan itu.
“Sebenarnya apartmen yang kita stay ini memang ada ‘sesuatu’. Banyak perkara tak kena yang aku perasan sejak kita sampai semalam,” kata Shah sambil tangannya erat memaut stereng.
Kami hanya terdiam, namun dalam hati bersetuju dengan apa yang dikatakan Shah sebentar tadi.
“Kalau semua nak tahu malam tadi ada satu peristiwa yang menyeramkan waktu aku bangun nak minum. Rasanya dalam pukul 2 pagi,” kata Uzzir. Kami semua berpandangan. Lantas Uzzir meneruskan ceritanya…
“Waktu aku keluar bilik nak ke dapur, tiba-tiba aku tergamam. Bayangkan empat kerusi yang ada di meja makan itu bergerak sendiri. Apa lagi terus aku patah balik masuk ke bilik,” sambung Uzzir panjang lebar.
Dalam perjalanan kami banyak membincangkan apa yang berlaku. Dari cerita tentang apartmen, restoran tinggal serta lelaki misteri yang muncul di dalam lif semalam. Semuanya menjadi misteri dan teka-teki buat kami. – Mingguan Malaysia
Apartmen itu? Biarlah aku rahsiakan …
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 3 April 2022, 5:10 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm