SEGAMAT: Kurang minat dalam kalangan generasi muda untuk mempelajari proses menganyam ketupat membawa rezeki kepada pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan itu.
Sarimah Alias, 55, berkata, setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dia bersama suami, Amir Hamzah, 58, sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kelongsong ketupat untuk dijadikan juadah 1 Syawal.
Katanya, kemahiran mereka menyiapkan pesanan itu dapat menghasilkan sehingga 5,000 kelongsong ketupat dalam sebulan.
“Saya menjual kelongsong ketupat sejak 15 tahun lalu. Setiap tahun kami membuka tempahan melalui dalam talian atau walk in untuk menjual pelbagai jenis daun dan keperluan yang biasa digunakan untuk membuat hidangan hari raya.
“Biasanya, 10 kelongsong ketupat dijual sekitar RM10 bergantung kepada saiznya. Malah, kami juga ada menjual pucuk daun kelapa, daun palas dan daun pisang hutan bagi kegunaan lemang buluh,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Awam Bandar Segamat di sini, semalam.
Menurut Sarimah, kelongsong ketupat seperti ketupat bawang dan ketupat sate sangat laris terutamanya pada saat-saat akhir menjelang hari lebaran.
“Sebenarnya menganyam ketupat ini mudah sahaja, pelbagai tutorial boleh diperoleh secara dalam talian tetapi ramai mengakui tidak pandai menghasilkan kelongsong ketupat dengan kemas.
“Maka, kami terfikir untuk menjadikan ia sebagai sumber pendapatan di samping dapat memenuhi permintaan orang ramai termasuk pelanggan tetap pada setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, Zaharah Mohd. Tumin, 30, dari Kampung Paya Pulai mengakui memang tidak ramai generasi kini yang mampu menganyam ketupat ketika ini.
Zaharah berkata, dia mempelajari teknik menganyam ketupat secara dalam talian sejak dua tahun lalu.
“Sepanjang Ramadan ini, saya tumpu untuk menganyam ketupat bawang namun mengambil tempahan daripada kenalan sahaja. Walaupun ia bermusim, pendapatan diperoleh ketika perayaan terutama Aidilfitri amat memberangsangkan,” katanya. – UTUSAN