IPOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesa dengan pendekatan atas pagar terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang bertanding dalam pemilihan parti itu ketika ini.
Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli berkata, isu itu timbul disebabkan tafsiran pihak tertentu yang melihat Anwar seolah-olah memihak Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merupakan pesaingnya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya faham kadang-kadang mungkin nampak macam dia (Anwar) membela Saifuddin, tetapi kalau kita jadi Presiden parti pun, kita juga kena menjelaskan kenapa strategi jadi begitu dan begini, walaupun sebenarnya strategi dan perancangan itu dijalankan oleh kumpulan yang menyokong atau pun yang sepatutnya membantu Presiden.
“Hanya kerana Saifuddin merupakan pasukan utama yang melaksanakan strategi parti sebelum ini, itu tidak bermakna dia membela Saifuddin. Sebagai Presiden, Anwar terpaksa juga memberi komen tentang prestasi parti. Jadi, saya tidak rasa perkara ini menjadi isu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Perjumpaan Yakini Rakyat Bersama Rafizi Ramli di Dewan Fook Tat Chee, Gunung Rapat di sini hari ini.
Menurut Rafizi, perkara itu sebenarnya tidak menjadi isu dalam kalangan ahli parti yang lebih memahami apa berlaku berbanding orang luar yang tidak arif tentang perbahasan parti.
“Ia bergantung kepada tafsiran masing-masing. Kadang-kadang kita terlebih membaca reaksi seseorang contohnya saya mungkin kelihatan kasar jadi ada orang cakap saya tidak berminat dengan Pakatan Harapan (PH).
“Ini tidak betul kerana semua orang tahu komitmen saya kepada PH memang tinggi. Cuma gaya saya dan kenyataan saya memang jelas dan kadang-kadang ada setengah pihak merasakan keras. Sama juga dengan Datuk Seri Anwar, kempen pada kali ini banyak bertumpu kepada prestasi parti dalam beberapa pilihan raya umum yang lepas,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai jaminan kerusi untuk PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, ia bergantung kepada rundingan antara parti dalam PH.
Katanya, rundingan kerusi pada kali ini dilihat jauh lebih mudah berbanding PRU-14 kerana tidak lagi melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Rundingan ini adalah satu proses biasa di antara tiga parti dalam PH. Dalam parti, anggota tahu bahawa saya yang berundingkan kerusi seluruh negara pada pilihan raya umum lalu. Kalau saya menang atau kalah, parti akan tetap menggunakan kemahiran saya untuk berunding.
“Segala rundingan adalah berdasarkan kepada parti mana yang boleh mewakili PH untuk menang. Contohnya jika PKR adalah parti yang lebih kuat di bawah sudah tentu PKR berpeluang mendapat lebih kerusi dan begitu juga sebaliknya,” katanya. – UTUSAN