PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahan jawatan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022.
Beliau mengesahkan perkara itu menerusi hantaran yang dikongsikan di Facebooknya hari ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan Presiden Keadilan bagi penggal 2022/2024.
“Beliau telah mengemukakan permohonan untuk bertanding menerusi aplikasi ADIL pada pukul 12.14 tengah hari,” katanya hari ini.
Ketika ini, tiada mana-mana ahli PKR yang dilihat berani menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu bagi pencalonan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermula hari ini.
Pemilihan parti kali ini memilih enam jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepemimpinan tertinggi sayap PKR serta cabang.
Ia dijangka menyaksikan pertembungan menarik bagi jawatan Timbalan Presiden apabila Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli mengesahkan bertanding jawatan tersebut.
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, antara nama calon dijangka bertanding ialah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Pengelola, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Selain itu, aktivis mahasiswa Adam Adli mengesahkan bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ia diikuti pemakluman bantahan pada 15 April, manakala tempoh rayuan bermula 16 hingga 18 April sebelum senarai muktamad calon dipamerkan pada 19 April ini. – UTUSAN