‘Anak saya tidak terlibat lumba haram’

‘Anak saya tidak terlibat lumba haram’

MUHD. Adam Danish Mohd. Fairu (kiri) dan Khairul meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Delima, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Lily Nor Ilyana Abdullah, 40, berduka apabila anaknya tidak sempat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman tahun ini setelah terkorban dalam kemalangan jalan raya di Taman Kota Masai, di sini semalam.

Lily Nor Ilyana berkata, kejadian itu sangat mengejutkan setelah anak sulungnya, Muhd. Adam Danish Mohd. Fairu, 16, sempat mengambilnya dari tempat meniaga untuk dihantar pulang ke rumah beberapa jam sebelum kejadian itu berlaku.

Menjadikan wanita itu bertambah sebak apabila tidak dapat menunaikan hasratnya membeli baju raya buat arwah untuk dipakai pada hari raya pertama nanti.

“Saya sebak memikirkan hasrat beli baju baharu untuknya tidak kesampaian. Sekurang-kurangnya kami akan tunai keinginan arwah untuk pulang ke kampung kerana dia akan dikebumikan di Pengkalan Chepa, Kelantan selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Lily Nor Ilyana, arwah anaknya itu adalah penuntut tahun pertama di pusat latihan kemahiran GiatMara di Pasir Gudang, di sini.

Katanya, Muhd. Adam Danish bukanlah ‘mat rempit’ seperti yang dikatakan bahkan dia tidak pernah terjebak dalam aktiviti seumpama itu sebelum ini kerana arwah adalah anak yang bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga.

Menurutnya, ketika kejadian, Muhd. Adam Danish dalam perjalanan daripada kedai ke rumah rakannya di kawasan perumahan Taman Kota Masai dan menunggang motosikal jenis Honda EX5 sambil dibonceng rakannya dikenali sebagai Khairul.

“Tidak disangka Muhd. Adam Danish dan Khairul menjadi mangsa apabila motosikal dinaiki dirempuh motosikal lain dipercayai milik remaja yang terlibat dalam lumba haram.

“Saya terkejut menerima panggilan berkaitan kejadian dan tidak menjangka anak saya dan Khairul meninggal dunia di tempat kejadian. Mereka adalah sahabat baik dan kedua-duanya tiada kaitan dengan kumpulan remaja yang terbabit lumba haram,” katanya.

SALAH sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya meragut tiga nyawa di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor.

Terdahulu, tiga remaja dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah setelah motosikal dinaiki mereka berlanggar sesama sendiri di Jalan Delima, Taman Kota Masai, kira-kira pukul 10.30 malam.

Ketiga-tiga mangsa terbabit telah tercampak di atas jalan dan terlanggar batu di bahu kiri jalan, manakala seorang lagi mangsa jatuh di batu bahu kanan jalan.

Sementara itu, seorang saksi kemalangan itu mengakui ngeri melihat tumpahan darah dan cebisan daging mangsa di lokasi kejadian.

Menurut rakan salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Apit, 16, kejadian itu berlaku semasa dua kumpulan motosikal dipercayai sedang berlumba di jalan berkenaan.

“Motosikal mereka kemudian bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan. Semasa kejadian banyak motosikal yang terlibat tetapi mereka semua melarikan diri selepas kemalangan tersebut.

“Saya lihat tiga mangsa nazak di tempat kejadian termasuk rakan saya manakala seorang lagi dikatakan kritikal,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya