Amanah persiap jentera hadapai PRU-15, mahu nafi BN berkuasa - Utusan Malaysia

Amanah persiap jentera hadapai PRU-15, mahu nafi BN berkuasa

khalid
KHALID SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) kini mempersiapkan seluruh jentera parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menafikan usaha Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, penyertaan Amanah dalam pilihan raya yang dijangka berlaku dalam tempoh masa tahun ini atau awal tahun depan adalah menang dengan tujuan membentuk sebuah kerajaan bersih rasuah dan bersifat berkebajikan.

Justeru katanya, Amanah yakin bahawa PRU-15 boleh dimenangi dengan strategi dan mesej yang tepat.

“Strategi ‘coalition building‘ antara Amanah dan Pakatan Harapan (PH) serta semua parti pembangkang perlu dipergiat dan mesej yang jelas akan mampu meraih kepercayaan pengundi untuk memenangi pilihan raya ini.

“Amanah bersedia memainkan usaha utama bagi mengembalikan kesatuan dan kebersamaan parti-parti pembangkang untuk menyertai pilihan raya ini secara bersama bagi menentang BN.

“Amanah beranggapan usaha untuk menafikan BN kembali berkuasa adalah matlamat terpenting dalam PRU-15 kerana implikasi kemenangan BN adalah terlalu buruk terhadap negara dan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan parti di Wisma Amanah, di sini.

Hadir sama Presidennya, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pimpinan Amanah yang lain.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Amanah menyeru semua parti pembangkang untuk mengambil pengajaran dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor yang lalu.

Katanya, pengajaran perlu diambil bagi membetulkan sikap dan pendekatan supaya strategi kemenangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Jangan benarkan kekalahan-kekalahan ini menyebabkan kita bersikap pesimis atau negatif, tetapi sebaliknya mengambil pengajaran dan membetulkan kelemahan yang terserlah,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Amanah terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti.

Namun katanya, sebarang keputusan kerjasama itu perlu diambil secara kolektif.

“Bersatu masih dalam kerajaan, bagaimanapun kita boleh bertemu dan berbincang dengan sesiapa (dan) keputusan perlu diambil secara kolektif.

“Tetapi sekarang Bersatu dalam kerajaaan lagi, dia bukan pembangkang.

“Pejuang pula pembangkang dan sebarang undi kita lihat dalam Parlimen (mereka) bersama PH, kita boleh berbincang mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya