Aliff Syukri mohon maaf, rayu jangan libatkan ahli keluarganya dan ibu - Utusan Malaysia

Aliff Syukri mohon maaf, rayu jangan libatkan ahli keluarganya dan ibu

ALIFF Syukri ketika hadir memberi keterangan di SKMM, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan video muziknya sebelum ini.

Untuk itu beliau memohon agar tidak melibatkan ahli keluarganya dalam kontroversi berkenaan.

Aliff Syukri berkata, dia memberikan kerjasama yang baik yang kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan siasatan juga sedang dilakukan oleh suruhanjaya tersebut berhubung kes itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik kepada saya dan saya memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya sebelum ini.

“Namun saya mohon janganlah libatkan keluarga saya dan ibu saya dalam kontroversi ini, lebih-lebih lagi dia (ibu) kini sedang menunaikan ibadah umrah,” katanya ringkas ketika ditemui di Ibu Pejabat SKMM di sini hari ini.

Terdahulu, Aliff Syukri dilihat tiba ke pekarangan ibu pejabat SKMM pada pukul 9.58 pagi dan keluar hampir lima jam kemudian selepas dipanggil untuk memberikan keterangan dan dirakamkan percakapan berhubung isu video muzik yang sebelum ini menerima kecaman hebat daripada orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam juga memaklumkan bahawa SKMM akan memanggil individu yang terlibat dengan klip video muzik sempena Aidilfitri yang menerima kecaman hebat baru-baru ini.

Jelas beliau, SKMM telah membuka satu kertas siasatan untuk menyiasat perkara tersebut di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Klip video muzik berdurasi 5 minit 23 saat yang dimuat naik ke laman YouTube baru-baru ini dikecam hebat pengguna laman media sosial apabila memaparkan sekumpulan lelaki menari dalam keadaan menggeletis dengan menggayakan pakaian yang disifatkan sebagai tidak menghormati bulan suci Ramadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN