CYBERJAYA: Usahawan kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tiba ke pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini pagi tadi.
Aliff Syukri yang tiba pada pukul 9.58 pagi itu dilihat ditemani dua lelaki dan terus melangkah ke dalam bangunan SKMM.
“Maaf, saya kena masuk ke dalam untuk beri keterangan,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa semalam memaklumkan bahawa SKMM akan memanggil individu yang terlibat dengan klip video muzik sempena Aidilfitri yang menerima kecaman hebat baru-baru ini.
Jelas beliau, SKMM telah membuka satu kertas siasatan untuk menyiasat perkara tersebut di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Klip video muzik tersebut mengundang kecaman orang ramai apabila memaparkan sekumpulan lelaki menari dalam keadaan menggeletis dengan menggayakan pakaian yang disifatkan netizen sebagai tidak menghormati bulan suci Ramadan.
Sebelum ini pelbagai pihak mengecam video muzik hari raya itu kerana jelas mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ia bukan sahaja mengganggu sensitiviti rakyat di negara ini bahkan mencemarkan kesucian Bulan Ramadan yang telah memasuki fasa 10 malam terakhir kini. – UTUSAN