Akta Anti Lompat Parti dibentang Julai ini - PM - Utusan Malaysia

Akta Anti Lompat Parti dibentang Julai ini – PM

ISMAIL Sabri Yaakob dalam sidang akhbar selepas selesai taklimat khas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar selepas selesai taklimat khas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dapat diluluskan esok berdasarkan komitmen diberikan semua pihak termasuk pembangkang.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperincikan, menggubal dan meneliti pindaan RUU Anti Lompat Parti itu sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu.

“Jawatankuasa khas itu akan disertai wakil kerajaaan, pembangkang, ahli akademik dan pakar Perlembagaan. Kami berharap perincian oleh Jawatankuasa khas itu akan dipercepatkan kerana sasaran kami untuk bentangkan RUU itu pada Julai ini.

“Secepat mana jawatankuasa itu boleh mencadangkan untuk dibentangkan dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas itu maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen,” katanya.

Katanya, kerajaan berharap agar Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 esok akan dapat diluluskan dengan majoriti dua pertiga.

Pada masa sama, katanya, kerajaan tiada niat untuk lewatkan pembentangan akta ini kerana mahu ia diperincikan terlebih dahulu selepas dibentangkan.

Katanya, Akta Anti Lompat Parti itu hanya terpakai bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Rakyat.

“Seperti kita tahu, DUN Kelantan sudah buat pindaan terhadap undang-undang tubuh dan tidak benarkan mana-mana ADUN lompat parti. Tapi kerana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda, jadi pindaan undang-undang tubuh Kelantan tidak boleh terpakai, justeru kita kena pinda Perkara 10, dan ini yang akan dilakukan esok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya