Akok Kelantan laris di Melaka - Utusan Malaysia

Akok Kelantan laris di Melaka

ORANG ramai beratur untuk membeli Akok yang dijual Salmona Hasan di Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kuih Akok di Bazar Ramadan Taman Rambai Jaya dekat sini adalah yang paling dinanti-nantikan oleh pengunjung setiap kali tibanya bulan puasa.

Kuih tradisional paling popular di Kelantan itu menjadi pilihan hingga menyebabkan orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.

Tidak hairanlah sejak bermulanya Ramadan, setiap hari Akok yang diusahakan Salmona Hasan, 56, bersama anak-anaknya mampu terjual lebih 1,000 biji dalam tempoh tiga jam.

“Sudah 15 tahun saya berniaga menjual Akok di Bazar Ramadan di Taman Rambai Jaya. Alhamdulillah ramai yang suka keenakan resipi datuk dan nenek saya.

“Setiap hari di bulan puasa, akok saya habis terjual dan tidak tinggal saki-baki pun untuk saya serta keluarga makan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Salmona yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan menambah, resipi turun-temurun keluarganya tidak langsung diubah rasa aslinya, dikekalkan sejak dahulu hingga hari ini.

Menurutnya, seawal pukul 4 petang ketika hendak memulakan perniagaan, sudah ada pelanggan yang hadir membuat tempahan awal.

“Harga Akok yang dijual masih dikekalkan pada harga lama iaitu lima keping RM2 dan tujuh keping RM3.

“Walaupun ramai peniaga kuih di sini telah menaikkan harga lima keping pada harga RM3, tetapi saya masih kekalkan harga lama. Tak salah rasanya tak naik harga untung sikit pun rezeki,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya