PETALING JAYA: Kira-kira 14 juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya di seluruh negara untuk pulang ke kampung tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim berkata, berdasarkan trend semasa, sebanyak 4.7 juta kenderaan sehari dijangka berada di atas 32 lebuh raya seluruh negara untuk pulang ke kampung halaman.
Berikutan itu, katanya, pihaknya kini bersiap-siaga bagi memastikan trafik terkawal ketika tempoh itu melalui Op Lancar.
“Ini kerana trend masyarakat yang suka balik pada saat akhir. Cuti raya pada tahun ini agak panjang dan masyarakat mengambil peluang beraya di kampung setelah dua tahun kita tidak dibenarkan merentas negeri bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri susulan Covid-19.
“Kita juga menjangkakan kesesakan teruk pada 7 dan 8 Mei ini apabila orang ingin pulang dari kampung ke ibu negara,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Mat Kassim berkata, ekoran jangkaan pertambahan kenderaan, JSPT mengatur gerak seramai 6,559 pegawai dan anggota trafik di peringkat kontinjen dan daerah bagi menjaga keselamatan trafik.
Jelasnya, cuti pegawai dan anggota JSPT turut dibekukan bagi persediaan Op Selamat 18 bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ turut akan dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan.
“Dalam Op Selamat 18 ini, JSPT akan memberi fokus terhadap Op Motosikal, Op Had Laju dan Op Perdagangan yang akan dijalankan secara penguatkuasaan menyeluruh dengan tiada sebarang rayuan akan diterima bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Aset-aset JSPT seperti motosikal dan kereta peronda juga dioptimumkan penggunaannya bagi tugas penguatkuasaan dan rondaan omnipresent di lokasi panas seluruh negara,” katanya.
Mat Kassim turut mengingatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan merancang perjalanan dengan selamat.
“Perlu peka dan fokus ketika memandu dan jangan guna telefon bimbit bagi mengelakkan berlakunya situasi tidak diingini,” ujar beliau. – UTUSAN