JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah memberi sinar baharu buat keluarga Nur Rizan Aman, 46, apabila menambah baik kualiti kehidupan mereka melalui sumbangan dan gerak kerja dilakukan.
Mohd. Hairi berkata, keadaan bumbung rumah ibu kepada empat anak itu juga agak teruk dan akan memastikan bantuan pembaikan rumah keluarga berkenaa akan disegerakan.
Sebagai Ahli Lembaga Yayasan Pelajaran MARA (YPM), beliau juga akan membantu mendapatkan sebuah komputer riba baharu kepada anak Nur Rizan yang kini menuntut di universiti ekoran kesukaran pembelajaran disebabkan komputer ribanya yang rosak
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Keratan-akhbar-Nur-Rizan-re-600x403.jpg)
“Pegawai kawasan saya seawal pagi sudah tiba di lokasi sejurus selepas dimaklumkan berita mengenai kehidupan daif lima beranak hidup dan belajar dalam keadaan rumah ketiadaan elektrik diterbitkan akhbar.
“Saya difahamkan isu tiga tahun keluarga berkenaan hidup bergelap kerana pada awalnya bil elektrik rumah itu adalah atas nama seorang ahli keluarganya, yang kemudiannya tidak lagi menggunakan nama tersebut sehingga bekalan elektrik terpaksa dipotong.
“Jika mahu memasang bekalan elektrik baharu, keluarga berkenaan perlu selesai tunggakan bil lebih RM800 dan Nur Rizan tidak mampu membayarnya kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan akibat penyakit jantung,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Nur Rizan buntu untuk memastikan anak-anak mendapat meneruskan pembelajaran dalam suasana yang lebih baik.
Katanya, dia sudah tidak bekerja sejak beberapa bulan lalu disebabkan motosikal yang rosak serta mengalami faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi berkata, pihaknya sudah mengambil maklumat terperinci untuk permohonan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memerlukan satu surat kebenaran memasang bekalan elektrik baharu selain pemantauan daripada pihak kontraktor bagi melihat terlebih dahulu keadaan rumah sebelum pemasangan dibuat.
“Saya difahamkan pihak TNB akan membantu dari segi deposit kos pemasangan meter elektrik dengan menyalurkannya kepada sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Pejabat daerah dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga sudah dihubungi oleh pegawai saya untuk tindakan lanjut serta lain-lain bantuan yang diperlukan.
“Untuk bantuan awal tadi, kami serahkan barangan keperluan harian untuk keluarga berkenaan. InsyaAllah kita sama-sama doakan usaha membantu membina semula kehidupan keluarga ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan,” ujarnya. – UTUSAN