ADUN DAP Pasir Bedamar mengaku tidak bersalah ambil dadah - Utusan Malaysia

ADUN DAP Pasir Bedamar mengaku tidak bersalah ambil dadah

TERENCE Naidu (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.

ADUN DAP Perak berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini kira-kira pukul 12.13 tengah malam 14 Januari lalu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes 17 Mei depan.

Terdahulu, akhbar melaporkan Terence ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Perai, dekat sini pada Januari lalu sebelum ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Terence merupakan ADUN Perak selama dua penggal dan merupakan seorang peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya