REMBAU: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menyiasat aduan ayam masih mentah dalam roti pita dan kebab yang didakwa dijual di sebuah bazar Ramadan di daerah ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, siasatan itu dilakukan selepas perkara itu tular di media sosial sejak semalam.
“Jabatan Kesihatan negeri telah diarah menyiasat aduan ini dan sekiranya aduan tersebut benar, peniaga tersebut boleh dikenakan tindakan kerana kegagalan menjaga kualiti makanan yang bersih dan selamat untuk orang ramai.
“Jabatan Kesihatan negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah juga akan turun padang ke setiap bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di Facebook, mengenai pembeli di sebuah bazar Ramadan di sini yang kecewa apabila roti pita dan kebab yang mahu dinikmatinya tidak dimasak dengan sempurna dengan isi ayamnya masih mentah.- UTUSAN