PETALING JAYA: Adam Adli Abdul Halim yang bernaung di bawah gabungan yang dinamakan ‘Seangkatan’ sempena pemilihan PKR 2022 kali ini mengetengahkan lima calon Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) bagi membantu angkatan itu mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Calon Ketua AMK itu berkata, setiap calon yang dinamakan mempunyai latar belakang kemahiran yang berbeza.
Sehubungan itu pihaknya percaya dan yakin bahawa calon-calon mempunyai kelebihan yang bakal memberi impak dan menambah baik dinamik pasukan Seangkatan.
“Dinamik ini penting seiring dengan fokus kami untuk memperkenalkan wajah serta bakat-bakat baharu bagi mengemudi AMK untuk penggal 2022 hingga 2025.
“AMK adalah sayap parti yang menjadi tunjang utama dalam gerak kerja di lapangan serta menjadi penghubung suara akar umbi anak muda,” katanya dalam majlis pelancaran, malam tadi.
Lima calon MPAMK dari Zon Tengah yang diketengahkan adalah Syafiq Iqmal, Harith Radzlan , Ng Yih Miin @ Bryan, Marina Ghani, Farah Ariana.
Tambah Adam Adli, pasukannya juga membawa tekad baharu yang berlandaskan lima teras utama dalam menghadapi sesi pemilihan parti kali ini.
Jelasnya, teras itu dijangka menjadi asas dan pegangan mereka sepanjang sesi pemilihan kali ini dan bakal diteruskan dalam pembawaan agenda anak muda Malaysia.
Lima teras itu merangkumi pengukuhan kebersamaan, kesepakatan dan kesatuan dalam parti; pemantapan organisasi kepimpinan dan institusi AMK serta pembaharuan tekad, tawaran dan idealisme buat kaum muda.
Selain itu, pendekatan baharu dalam membawa politik dasar dan khidmat masyarakat serta persediaan menyeluruh AMK mendepani pilihan raya akan datang. – UTUSAN