Abai, sorok kelahiran, kematian bayi, bapa diheret ke mahkamah

Abai, sorok kelahiran, kematian bayi, bapa diheret ke mahkamah

CHONG Kim Fui dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang bagi menghadapi dua pertuduhan mengabai, menyembunyi dan menyorokkan kematian kanak-kanak di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan seorang bapa mengabai, menyorok kelahiran dan kematian anaknya mengundang padah apabila berhadapan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh Chong Kim Fui mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noridah Adam dan Majistret P. Sarulatha terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut dan memohon untuk dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, penjaga spa itu didakwa membiarkan seorang kanak-kanak mengalami sesak nafas (asphyxiation) selepas memberinya minum susu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 6 April 2022, antara pukul 3 petang hingga 8 malam dalam sebuah unit kondominium di Jalan Batu Tiga Lama di sini.

Justeru, Kim Fui dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 31(1) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000 dan kedua-keduanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret pula, Kim Fui dituduh di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan cara membuang mayat bayi pada pukul 4 pagi keesokannya dekat tempat pembuangan sampah di kondominium berkenaan.

Oleh demikian, dia boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum jumlah jaminan ditetapkan Timbalan Pendakwa Raya di kedua-dua Mahkamah Sesyen dan Majistret, Ahmad Faiz Abd. Raoff dan Nuruljannah Aimi menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan, lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Kim Fui kemudian diperintah oleh kedua-dua mahkamah membayar jaminan sebanyak RM14,000 (RM10,000 di Mahkamah Sesyen dan RM4,000 di Mahkamah Majistret) dan memenuhi syarat tambahan berkenaan, sementara Noridah turut mengarahkan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mei depan.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki warga tempatan dan teman wanitanya merupakan warga asing disyaki menjadi suspek utama selepas polis menyiasat penemuan mayat bayi dekat tempat pengumpulan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang pada 7 April lalu.

Mayat bayi dianggarkan berusia empat bulan itu disedari seorang penduduk di sana yang menemukannya dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 3.05 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil siasatan kemudian membawa kepada penahanan sepasang kekasih berusia 30 hingga 40-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya