PETALING JAYA: Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menghulurkan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada hampir 900 anak-anak yatim di sekitar negeri ini.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Koporat CSR, Rozita Ahmad berkata, inisiatif itu adalah salah satu daripada teras tanggungjawab sosial korporat syarikat itu bagi menyantuni masyarakat dan komuniti yang memerlukan bantuan.
“Program ini memasuki tahun kelima yang mana ia menyasarkan lebih ramai anak-anak yatim dalam persiapan mereka ke sesi persekolahan baharu.
“Kami berharap sumbangan ini memberi suntikan semangat dan keceriaan kepada anak-anak bagi memulakan alam persekolahan dengan cemerlang sekali gus mempertingkat prestasi akademik,” katanya sempena Program Jom Ke Sekolah Bersama CSR di Bangi, dekat sini, Khamis lalu.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Seri. Khanafi Hussin menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik korporat CSR atas sumbangan yang diperuntukan sebanyak RM150,000 bagi menjayakan program tersebut.
“Alhamdulillah, sumbangan perkakasan persekolahan yang diterima YIDE diedarkan kepada 19 buah rumah anak yatim seliaan YIDE secara berperingkat mulai 13 April lalu dan ini adalah lokasi terakhir sebagai signifikan gimik pihak YIDE laksanakan.
“Baju sekolah yang digunakan anak-anak yatim melalui sumbangan CSR dijahit sendiri oleh asnaf-asnaf yang mendapat latihan daripada Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd,” jelasnya.
Dalam majlis sama, 50 anak-anak yatim Rumah Bakti Al Kausar, Bandar Baru Bangi turut menerima sumbangan duit raya bagi menyambut kedatangan Syawal. – UTUSAN