MARAN: Tujuh lelaki ditangkap kerana berjudi belangkas di bulan Ramadan dalam ladang kelapa sawit di sempadan Felda Jengka Enam dan Jengka 7 kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran diketuai Inspektor Mohd. Jefri Mat Nawi membuat serbuan dalam Ladang Kelapa Sawit Felda di lokasi tersebut.
Jelasnya, ketika serbuan dilakukan, mereka berkumpul di dua buah meja dan sedang leka bermain judi belangkas.
“Hasil pemeriksaan di atas meja dan individu terlibat, polis merampas perkakasan perjudian seperti dua meja lipat, dua buah dadu belangkas, kain kanvas, seutas tali putih, piring dan mangkuk kecil serta wang tunai RM4,358,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norzamri berkata, kesemua suspek termasuk dua warga emas berusia lingkungan 40 tahun hingga 69 tahun kini ditahan di lokap Balai Polis Maran selama empat hari sehingga 23 April ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM,5000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
“Pihak polis akan terus memantau aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah di daerah Maran secara berterusan walaupun dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Maklumat orang ramai amat diperlukan bagi membantu pihak polis membanteras kegiatan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud menasihatkan warga Felda tidak lupa diri dengan bermain judi hasil rezeki yang melimpah ketika ini. – UTUSAN