45 peratus unjuran vaksinasi kanak-kanak 

45 peratus unjuran vaksinasi kanak-kanak 

KHAIRY Jamaluddin bersalaman dengan Noor Hisham Abdullah (kiri) sambil diperhatikan Noor Azmi Ghazali selepas sidang akhbar berhubung perkembangan SOP terbaharu di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unjuran vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun berkemungkinan hanya mencapai 45 peratus, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. 

Beliau berkata, pada masa ini, tarikh akhir pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada golongan itu kekal berakhir 15 Mei ini.

“Jadi saya unjurkan kita mungkin hanya capai 45 peratus daripada golongan kanak-kanak. Bagaimanapun, saya harap ibu bapa masih lagi ada masa dua minggu akan ambil peluang untuk dapatkan vaksin bagi anak mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.  

Khairy berkata, selepas 15 Mei ini, ibu bapa masih mempunyai pilihan mendapatkan vaksin melalui program vaksinasi berbayar iaitu vaksin Sinovac.

“Itu pilihan yang ada dan untuk vaksin Pfizer, ia hanya diberikan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) serta tidak lagi diberikan selepas 15 Mei. 

“Kita juga akan simpan bekalan vaksin terutama bagi yang belum mencapai usia lima tahun yang mungkin akan capai usia itu pada tahun ini. Kita turut menyimpan bekalan vaksin untuk kanak-kanak positif Covid-19 yang terpaksa menunggu sebulan sebelum mendapat dos pertama,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pihaknya tidak mampu untuk melanjutkan tarikh pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang berakhir 15 Mei ini kerana ia turut berkait tarikh luput vaksin serta usaha memperoleh lebih banyak ubat antiviral.

 Sementara itu, katanya, dari Oktober tahun lalu hingga April tahun ini, sebanyak 245 kes Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak atau Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Dua hari lepas kita juga menerima perkhabaran melalui laman media sosial Ketua Pengarah Kesihatan mengenai seorang kanak-kanak berumur 11 tahun mengalami Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) selepas dijangkiti Covid-19 dan  meninggal dunia. 

“Kanak-kanak ini tidak menerima vaksin Covid-19. Kementerian Kesihatan amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan semoga kejadian ini menjadi iktibar serta pendorong kepada ibu bapa lain untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak mereka yang layak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya