40,543 pemilih baharu didaftar automatik - Utusan Malaysia

40,543 pemilih baharu didaftar automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 40,543 warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh sebulan sepanjang Mac lalu didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2022 (DPT BLN3/2022) yang  diperakukan semalam dan diwartakan pada hari ini.

Beliau berkata, DPT BLN3/2022 turut mengandungi seramai 12,286 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,019 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“DPT BLN3/2022 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 15 hingga 14 Mei ini. SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN3/2022 seperti menerusi portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

“(Semakan juga boleh dibuat menerusi) aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, sehubungan itu SPR menyeru kepada warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lalu dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN3/2022.

Kata beliau, sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Di samping itu katanya, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke pejabat pilihan raya negeri berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2022,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN3/2022 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya