300 ahli Gerakan keluar parti sertai MIC - Utusan Malaysia

300 ahli Gerakan keluar parti sertai MIC

R. Saroja (empat kiri) menyerah borang menyertai MIC kepada Kalaikumar Nachi sambil diperhati oleh N. Chandhiran di Taman Sepilai, Karangan, Kulim baru-baru ini. - UTUSAN/ABD. RAZAK OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 300 ahli parti Gerakan Bahagian Padang Serai dekat sini bertindak keluar parti itu dan menyertai MIC baru-baru ini.

Setiausaha Organisasi MIC Negeri Kedah, Dr. Kalaikumar Nachi berkata, antara pemimpin Gerakan bahagian itu yang mengambil tindakan tersebut ialah Naib Ketua, N. Chandhiran dan Ketua Wanita, R. Saroja.

Menurutnya, mereka bertindak demikian kerana tidak puas hati dengan hala tuju Gerakan setelah keluar daripada Barisan Nasional (BN) beberapa tahun lalu.

“Penyertaan dua pemimpin dan ahli-ahli Gerakan bahagian itu dalam MIC menjadi satu sejarah dibawa pimpinan Datuk S. Ananthan selaku Pengerusi MIC Negeri Kedah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya yakin lebih ramai dalam kalangan masyarakat India di negeri ini akan kembali menyokong perjuangan MIC yang terbukti selama ini banyak berjuang dalam membela nasib rakyat.

Jelasnya, kebanyakan masyarakat India didapati kembali berminat menyertai BN selepas mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti-parti lain.

“Kemasukan ahli-ahli daripada parti pembangkang itu akan meningkatkan kekuatan BN di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” jelasnya.

Kalaikumar yang juga Ketua Cawangan MIC Bahagian Padang Serai berkata, beliau percaya peluang calon BN mewakili MIC mencapai kemenangan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini akan lebih cerah sekiranya lebih ramai masyarakat India menyokong MIC selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya