GEORGETOWN: Jumlah kenderaan yang melalui Pulau Pinang untuk menuju kawasan Utara dijangka meningkat sehingga 3.6 juta buah ketika orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain itu polis menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan memasuki Pulau Pinang.
”Kita menjangkakan pergerakan kenderaan ke negeri-negeri utara termasuk Pulau Pinang ketika Aidilfitri ini bermula Jumaat ini dan ramai yang akan pulang selepas dua tahun tidak dapat beraya.
“Pada tahun ini, kita jangka sehingga sejuta kenderaan akan masuk ke Pulau Pinang manakala 3.6 juta kenderaan akan melalui Pulau Pinang untuk ke Kedah dan Perlis,” katanya selepas program Jelajah Op Selamat ke-18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bazar Ramadan Bayan Baru, di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, limpahan kenderaan dan kesesakan juga dijangka berlaku di beberapa lokasi di Pulau Pinang.
”Antara jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan kenderaan dan juga hot spot kes kemalangan ialah Jalan Teluk Air Tawar-Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara), Jalan Perusahaan Perai – Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah) dan Jalan Besar Simpang Ampat (KM12 – KM32).
”Selain itu, jalan lain adalah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu – Jalan Ayer Itam (Timur Laut), Jalan Ayer Itam -Paya Terubong (Timur Laut) dan Jalan Tun Dr. Awang (Barat Daya),” katanya.
Tambahnya, seramai 360 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang Op Selamat ke-18 dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
”Selain itu, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang akan bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti bagi kempen rumah selamat.
”Kita juga akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar dalam operasi kali ini,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan selain berhati-hati ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. – UTUSAN