SUNGAI PETANI: Sebanyak 28 buah rumah di Taman Sutera Jaya di sini rosak dalam kejadian ribut hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu mengakibatkan bahagian bumbung rumah terlibat diterbangkan angin kencang.
Penduduk, Azahari Shafie, 58, berkata, kejadian berlaku ketika dia baru pulang dari masjid setelah menunaikan solat Jumaat.
“Saya baru sahaja sampai di hadapan pintu rumah sebelum berlaku angin kencang sehingga menerbangkan bumbung rumah. Pada masa itu, saya bersyukur kerana tidak terkena serpihan bumbung yang terjatuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia terus bergegas masuk ke dalam rumah sambil melaungkan azan.
“Angin kencang berlaku kira-kira lima minit dan saya bersyukur isteri dan tiga anak yang berada di dalam rumah tidak mengalami kecederaan,” jelasnya.
Tambahnya, perabot dan perkakas elektrik rosak kerana basah terkena air hujan.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, sebanyak 28 buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut itu.
“Tiada laporan berkaitan kecederaan diterima setakat ini,” katanya. – UTUSAN