PUTRAJAYA: Kejayaan penerbitan Mashaf Al-Quran Braille Malaysia (MQBM) akan memenuhi keperluan kira-kira 25,000 Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang beragama Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, penerbitan itu juga membolehkan mereka membaca al-Quran dengan menepati dhabt dan rasm selari keperluan mashaf al-Quran Rasm Uthmani.
“Penghasilan mashaf tersebut menjadi satu wadah bagi golongan ini untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan lebih mudah dan terperinci.
“Kesukaran berlaku sebelum ini kerana perbezaan penulisan al-Quran Braille versi lama tidak menepati Rasm Uthmani yang diguna pakai dalam al-Quran biasa di Malaysia. Contohnya perbezaan pada penandaan waqaf dan peralihan juzuk,” katanya pada Majlis Pelancaran Mashaf Al-Quran Braille Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2022M di sini hari ini.
Penghasilan MQBM bermula tahun 2012 susulan idea awal melalui kertas cadangan bagi menjalankan kajian pembangunan standard penulisan mashaf tersebut daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Cadangan ini dikemukakan kepada Lembaga Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kemudiannya dipanjangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memohon peruntukan kewangan untuk membiayai projek itu.
Dalam pada itu, beliau berharap, agensi yang terlibat khususnya Jakim dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) mengorak langkah secara agresif bagi memperkenalkan mashaf tersebut dengan lebih meluas.
Katanya, hal ini penting agar pengguna dapat menguasai simbol baharu yang digunakan seterusnya dapat membacanya dengan baik serta akhirnya akan lahir pembaca al-Quran Braille yang mahir dan cekap menguasai ilmu al-Quran.
“Standard penulisan MQBM dan modul pengajaran yang telah dibangunkan akan memudahkan golongan berpenglihatan turut sama mempelajari kaedah penulisan dan membaca al-Quran Braille.
“Ia perkembangan sangat bermakna kerana memberi peluang lebih luas kepada masyarakat untuk sama-sama berganding bahu dengan golongan OKU penglihatan untuk memartabatkan al-Quran Braille itu sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, Idris berkata, beliau mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan khususnya Bahagian Pendidikan Khas serta Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan dalam menjadikan MQBM sebagai rujukan utama dalam pengajian al-Quran di sekolah pendidikan khas seluruh negara.
“Insya-Allah saya akan memaklumkan perkara ini kepada Jemaah Menteri khususnya Menteri Pendidikan dan juga Menteri Pengajian Tinggi,” katanya.
Yang Dipertua PERTIS, Mohd. Faizal Che Yusoff berkata, untuk cetakan pertama, sebanyak 1,000 naskhah mashaf akan dicetak menggunakan 15 mesin pencetak. – UTUSAN