250 bungkus tepung bungkus habis terjual tak sampai sejam - Utusan Malaysia

250 bungkus tepung bungkus habis terjual tak sampai sejam

FADZILAH Omar menunjukkan kuih tepung bungkus di rumah mereka di Penaga, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pengusaha kuih tepung bungkus dari Kampung Guar Tuan Syed, Penaga dekat sini, tidak menang tangan menyiapkan juadah tradisional itu untuk dijual setiap kali Ramadan.

Fadzilah Omar, 54, berkata, rutin hariannya sepanjang bulan puasa bermula sesudah Subuh apabila dia dan suami, Sabudin Dahaman, 65, bersengkang mata menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kuih tepung bungkus.

“Sepanjang bulan puasa, kami akan siapkan kuih tepung bungkus kira-kira 200 sehingga 250 bungkus sehari tidak termasuk tempahan.

“Memang tak menang tangan memandangkan kami tidak menggunakan sebarang mesin yang boleh memudahkan kerja selain hanya menggunakan dapur gas bagi kerja-kerja mengukus kuih tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Kata ibu kepada empat anak itu, setelah kuih siap dibungkus, suaminya akan menghantar kuih tersebut ke kedai anak sulung perempuannya, Siti Umairah Sabudin, 36, dekat Permatang Rambai, Penaga untuk dijual pada sebelah petang.

SETIAP hari Fadzilah Omar dan suami, Sabudin Dahaman akan menyiapkan kira-kira 200 sehingga 250 bungkus kuih tepung bungkus untuk dijual sepanjang Ramadan.

“Tahun ini sudah masuk tahun ketiga letak kuih di kedainya, alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Malah, kalau letak dekat kedai (anak), tak sampai sejam habis terjual. Ada ketikanya pelanggan rasa kecewa sebab tak sempat nak beli,” katanya yang mewarisi resipi kuih tersebut daripada Allahyarham ibunya.

Fadzilah menambah, selain perlu menyiapkan inti kuih iaitu hasil adunan kelapa parut, gula merah serta gula putih yang memakan masa kira-kira sejam, cabaran lain yang dihadapi ialah perlu memastikan kuih yang dikukus itu telah masak dalam jangka masa yang tepat.

“Suami akan melakukan kerja mengukus kuih iaitu tidak lebih 10 minit bagi memastikan adunan tepung beras dengan inti kelapa yang disalut dengan tepung pulut tidak mentah dan tidak pula terlebih masak.

“Kalau terlebih masak, kuih akan terburai, tak cantik seterusnya menjejaskan rasa kuih itu sendiri,” katanya yang lebih mesra disapa sebagai Mak Su.

Fadzilah berkata, dia hanya menggunakan ramuan yang segar seperti santan, kelapa parut serta gula merah asli bagi memastikan kualiti kuih yang dihasilkan itu tahan lebih lama.

“Selain kuih tepung bungkus, saya juga turut menerima tempahan membuat ketupat palas, tapai dan kuih halwa maskat sempena Hari Raya Aidilfitri, namun bergantung kepada keadaan,” katanya sambil menambah pada hari kebiasaan dia turut menerima tempahan kuih tepung bungkus dari pelbagai agensi kerajaan, sekolah dan pusat komuniti setempat bagi sebarang acara.

Kuih tepung bungkus Fadzilah dijual dengan harga RM3 sebekas yang mengandungi empat bungkus kuih tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya