223 sampel makanan berisiko tinggi dianalisis

223 sampel makanan berisiko tinggi dianalisis

MOHD. Akmal Kamarudin (kiri) mengambil sampel makanan di gerai peniaga pada operasi keselamatan makanan sempena bulan Ramadan di Kuala Kangsar semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan mengambil 223 sampel makanan yang berisiko tinggi di beberapa premis terpilih termasuk bazar Ramadan di seluruh negeri untuk dianalisis.

Antara sampel makanan yang diambil termasuk kerabu, cendol, ayam masak merah serta produk berasaskan kacang dan hasilan kekacang seperti biskut perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, kesemua sampel itu diambil bagi tujuan analisis mikrobiologi, kimia dan bioteknologi.

Katanya, aktiviti pemantauan bagi pensampelan makanan yang dijalankan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 itu bagi memastikan makanan dijual kepada orang ramai adalah bersih dan selamat.

“Pada tahun lepas, sebanyak 303 sampel makanan diambil dan daripada jumlah itu, sebanyak 12 sampel telah melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Sampel yang dikesan tercemar ialah ayam masak merah, ayam masak kicap, sup sayur, lala masak lemak, nasi tomato, kuih buah melaka, garam dan kuih popia.

“Bagi kesalahan itu, 12 kompaun dengan nilai keseluruhan RM12,300 dikeluarkan kepada peniaga dan pengendali makanan,” katanya pada Majlis Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri di Arena Square di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming dan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori. 

Menurut Akmal, komponen utama yang diambil kira bagi pemeriksaan bazar Ramadan seperti aspek kebersihan persekitaran, peralatan dan pengendali makanan.

Selain itu katanya, kaedah mempamerkan makanan yang dijual juga dititikberatkan agar makanan sentiasa dalam keadaan selamat untuk dimakan.

“Aktiviti pemeriksaan kebersihan premis makanan ini meliputi pemeriksaan sebelum dan semasa premis beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

“Bilangan pengusaha di bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri bagi tahun ini sebanyak 3,148 manakala bilangan gerai bazar Ramadan di seluruh negeri berjumlah 3,290,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya