2,200 anggota JPJ sertai Op Bersepadu sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

2,200 anggota JPJ sertai Op Bersepadu sempena Aidilfitri

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 April  hingga 8 Mei depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, seramai 2,200 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  akan terlibat secara langsung dalam Operasi tersebut. 

Menurut beliau, operasi itu akan turut disertai agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan lain serta syarikat-syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Kami mengambil inisiatif untuk terus komited bagi melaksanakan kempen ini dengan mengekalkan tema yang sama iaitu Pandu Cepat, Sampai Selamat. 

“Kempen kali ini berpaksikan empat teras  iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian,” katanya ketika  berucap melancarkan kempen berkenaan hari ini. 

Kesalahan lalu lintas

Ka Siong memberitahu, lima kesalahan lalu lintas utama dikenal pasti sepanjang kempen ini ialah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan. 

Kata beliau,  antara inisiatif yang akan dilaksanakan JPJ sepanjang kempen termasuk melaksana kaedah penyamaran dalam bas ekspres dan pemantauan melalui enforcement based station (EBS)  di 14 lokasi tumpuan di sepanjang lebuh raya.

Menurutnya, JPJ juga akan mengadakan Pra Op Hari Raya bermula esok hingga 24 April membabitkan pemeriksaan bas ekspres di 75 buah depoh serta 28 terminal bas utama di seluruh negara bagi memastikan bas ekspres sentiasa berada dalam keadaan kelayakan di jalan raya. 

“Selain itu, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan tiga hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri iaitu pada 30 April hingga 2 Mei (sebelum) dan 7 dan 8 Mei (selepas). 

“Larangan ini bertujuan mengekalkan risiko berlakunya nahas di jalan raya akibat percampuran aliran trafik membabitkan kenderaan berat dan kenderaan ringan selain mengekalkan keaesakan lalu lintas,” katanya.

Katanya, menerusi kempen ini, kementerian amat serius dalam mencapai sasaran pengurangan jumlah kematian dan kecederaan membabitkan kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030 berdasarkan Resolusi Persidangan 74/299 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya