KLANG: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) mengesahkan sebanyak 22 kontena musnah manakala 38 lagi terjejas akibat kebakaran di Pelabuhan Barat di sini, sejak semalam.
Pengurus Besarnya, Kapten K. Subramaniam berkata, kebakaran kontena itu berlaku di Yad Kontena Blok 07J Bay 0506 pelabuhan berkenaan pada pukul 4.15 petang.
Katanya, yad itu merupakan penyimpanan kargo biasa (dry general purpose) dan tidak melibatkan sebarang kargo berbahaya (dangerous goods).
“Sebanyak 22 buah kontena musnah dan dianggarkan 38 lagi kontena terjejas. Api sudah dikawal sepenuhnya pada pukul 3 pagi tadi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Bomba Westports,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Subramaniam, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan tiada jentera punggah pelabuhan terjejas. Operasi pelabuhan berjalan seperti biasa kecuali di lokasi kejadian yang sudah ditutup untuk siasatan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, api sudah terkawal namun pihaknya masih sedang memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut.
“Seramai 34 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) menyertai operasi itu yang bermula sejak petang semalam. BBP itu antaranya Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Kota Anggerik, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong dan Subang,” katanya.
Jelas beliau, muatan kontena yang musnah antaranya alat ganti, alatan muzik, minyak pelincir dan benang.
Tambah Norazam, pihaknya akan meneruskan operasi pemadaman sehingga keadaan selamat sepenuhnya di lokasi kejadian. – UTUSAN